Saturday, June 13, 2009

pErKahWinaN rAhIm...

Seawal jam 6:45 pagi dia telah pun terpacak di perhentian bas Taiping. Menunggu bas ke Kuala Kangsar, bandar diraja. Kelibat manusia masih belum ramai. Hanya ada peniaga-peniaga yang baru membuka kedai, pejual tiket dan pemandu-pemandu bas. Ada juga sepasang remaja sedang bermadu kasih di dalam perhentian itu.

'Pagi-pagi dah dating ke? Apara'.

'Aku g taiping'.


Begitu bunyinya sms pendek dari Speki setelah Madeq memberitahu bas jam 7 masih belum bergerak walaupun sudah lewat 15 minit dari jadual asal. 20 minit kemudian, Speki pun muncul di perhentian bas.

Kereta Wira itu meluncur laju menuju Bidor, mengikut jalan lama. Jimat tol katanya Speki. Persinggahan untuk mengambil Am sebelum terus ke destinasi, Sungai Buloh. Am yang dahulunya memang berbadan besar, semakin berisi. Gaya-gaya bapa orang pun ada. Hampir 6 tahun tak bertemu dengan Am namun sedikit pun tidak merasa canggung. Am masih seperti dulu, tidak banyak bercakap tapi tahu bila hendak menyelit.

Keesokan hari selepas kenduri Zam, dia ke Sungai Buloh, Selangor pula bersama Speki dan Am. Kali ini untuk meraikan dan memeriahkan majlis persandingan seorang lagi rakan serumah dan juga sebilik semasa membuat diplomanya dahulu, Rahim bin Nor Rizan.

Kenduri Rahim lebih meriah dengan kehadiran beberapa rakan dari IKM. Di sana sedia menanti, Jiji dan aweknya juga Mirza. Tiada jodoh untuk bertemu dengan Daoz
kerana kelewatannya tiba. Sebenarnya Madeq mengharapkan lebih ramai rakan IKM yang datang kerana rata-rata berada di Kuala Lumpur. Muslim, Muna, Wak Di, Noni, Ida, Eddy, Ayu dan entah siapa lagi sepatutnya boleh hadir ke majlis itu. Sedangkan dia yang dari Perak pun boleh datang apatah lagi yang sedia ada di KL. Pelik tapi benar.

Rahim masih sama seperti dahulu. Tetap putih dan semestinya masih lebih tinggi 10 cm dari Madeq. Gadis pilihannya dari Johor. Sama padan dan sama lawa.

Selamat Pengantin Baru, semoga berbahagia dan kekal sehingga akhir hayat hendaknya. Amin.



'Bila la pulak giliran aku ni naik pelamin'.


Friday, June 12, 2009

pErKahWinaN zAm...

Kereta di kedua belah arah terpaksa merangkak jalan. Tidak mahu ada kecelakaan berlaku di sana. Kiri kanan di bahu jalan menjadi tempat meletak kereta. Rata-rata hanya kereta berkelas sederhana. Dari sekecil Kancil hinggalah sebesar Waja. Diantara kereta-kereta itu terselit juga kereta-kereta mewah. Tanda sebagai anak kampung pun boleh berjaya dan tentunya boleh menjadi kaya.

Deretan motorsikal dari pelbagai jenama turut jua menjadi penghias di bahu jalan. Haji dan hajah yang tidak berhelmet kelihatan meyusur perlahan dengan kapcai atau pun C70 mencari tempat sesuai meletak motorsikal antik mereka. Anak dara berbaju kurung pula ligat menunggang EX5 ke sana kemari di tengahhari yang terik itu. Tidak tahu apa yang di cari.

Begitulah pemandangan di sepanjang jalan menuju ke rumah Zam, kawan karibnya sejak di IKM lagi. Kenduri-kendara seakan-akan tidak putus disepanjang jalan ke Parit Buntar itu. Khemah-khemah kenduri bersambungan seakan-akan pesta. Papan-papan tanda kenduri ada saja terpacak di simpang-simpang jalan menunjuk arah ke rumah pengantin.

Selalunya dari Taiping ke Parit Buntar memakan masa hanya 45 minit tapi kali ini berbeza. Dia rasakan seakan lebih lama. Satu faktor mungkin kerana jalan yang sibuk dan satu lagi mungkin kerana sudah lama dia tidak ke rumah Zam. Faktor yang pasti pula kerana Kancil merah EX660nya memang tidak dapat memecut laju. Tidak seperti kereta Wiranya dulu.

Zam yang satu ketika dulu pernah menjadi rakan serumah sewaktu membuat diploma dulu akhirnya berumahtangga. Zam yang tua dua tahun dari Madeq telah memilih gadis dari Lumut sebagai suri hidupnya. Itulah sebabnya Madeq ke Parit Buntar. Untuk menghadiri majlis persandingan kawan baiknya ini.

Seperti yang dijangka, hanya dia seorang sahaja menjadi wakil kepada rakan-rakan IKM yang lain. Tak dapat salahkan kawan-kawan yang lain juga. Cuti sekolah dan juga cuti umum. Pasti ada jemputan kenduri sanak saudara yang lain juga. Lagi pun ramai diantara kawan-kawannya bekerja atau pun menetap di Kuala Lumpur. Satu perjalanan yang panjang untuk mereka ke sini.



Itu cerita seminggu, hari Sabtu yang lalu. Hari ini, Madeq hanya lepak dan bermalasan di rumah...

Tuesday, June 2, 2009

x-rEx n LifE...

Facebook, Friendster, YM adalah penemannya diwaktu cuti ini. Sepanjang cuti ini, mereka inilah yang menjadi tempat membunuh waktunya.

Keadaan tak seperti dulu. Kawan-kawan sekampungnya atau boleh juga dikatakan rakan-rakan sepasukannya, X-Rex semua telah berkerja. Ada juga yang telah mendirikan masjid. Mat, dari KL ke Penang. Sekarang kembali lagi ke KL untuk bekerja. Dia ingat boleh la lepak dengan Mat sementara cuti ni. Malangnya, Mat telah pun melapor diri di Telekom. Jawatan apa, dia sendiri kurang pasti. Yang pasti, Telekom syarikat bertaraf gergasi. Susah untuk bankrup. Jadi rasanya ekonomi Mat selepas ini pasti akan stabil. Kad undangan pasti akan tiba tak lama lagi.

Shahrom pula sudah berkahwin. Madeq tak berkesempatan nak ke majlis perkahwinan itu. Sehingga sekarang pun Madeq belum lagi melihat wajah isteri sahabatnya itu. Kenduri Shahrom diadakan semasa dia masih di Kota Kinabalu. Hanya Mat sahaja antara sahabat-sahabat mereka yang dapat hadir. Bukan kenduri Shahrom sahaja. Azizul dan Hafez sama juga. Kenduri mereka disempurnakan ketika dia masih di KK. Dia hanya sempat menghadiri kenduri Dzul sahaja. Itu pun tiada gambar, sebagai kenangan.

Dia benar-benar terasa terkilan. Dia juga harap, sahabat-sahabatnya itu mengerti dan faham situasinya ketika itu. Kalau dia ada di semenanjung, akan dia usahakan juga untuk pergi tapi dengan jarak yang dipisahkan Laut China Selatan sukar baginya memenuhi undangan itu.

Sekarang tinggal Adi, Mat dan juga Shamin. Ketiga-tiganya sudah bekerja. Dia dengar cerita juga yang Adi akan mengakhiri zaman bujangnya hujung tahun ini. Pilihannya sudah tentulah Sherli, gadis yang suatu ketika dahulu menjadi rebutan antara Adi dan Shamin. Dululah. Sekarang tak pasti. Sudah nyata Sherli memilih Adi. Macam mana dengan Shamin? Dia sendiri tak pasti. Shamin hilang entah kemana. Akhir sekali dia berjumpa dengan Shamin ketika di KL tahun 2005. Ketika membantu sahabatnya itu menghadiri temuduga kerja di sana. Selepas itu, hilang berita. Madeq sendiri ke KK. Cuba dihubungi tapi di sambut oleh gadis biadap dari Negeri Sembilan.

'Confirm dah tukar nombor. Minah ni plak apahal kurang ajar sangat. Tau la dah salah nombor. Ingat aku nak ngorat dia ke. Pirrrah!'

'Rakyat Malaysia ramah konon. Iyalah sangat. Dengan pelancong boleh la kelentong.'

Shamin tak dapat dihubungi. Adi masih boleh dihubungi tapi nampak gaya macam dia yang tak ingin ditanya khabar. Balik ke Taiping pun tidak menelefon kawan-kawan. Kantoi dengan Mat di Taiping Sentral. Jelas dia lebih pentingkan buah hatinya itu dari sahabat-sahabat lamanya. Madeq tak salahkan Adi pun. Mungkin Adi ingat sahabat-sahabatnya ini semua sibuk dengan kerjaya masing-masing. Status persahabatan Adi dengan Shamin masih tidak diketahui. Satu hari nanti pasti akan terungkai semua permasalahan antara mereka. Amin...

Bila teringat tentang mereka, Madeq teringat pula kisah dirinya dengan Hafez. Permusuhan dalam kumpulan sendiri. Biarlah. Bagi Madeq, ia telah pun menjadi pengajaran baginya.

Tinggallah Mat yang masih selalu menghubunginya. Madeq sendiri kerap menanya khabar Mat. Takdir Mat amat berliku. Tak ubah seperti takdir Madeq sendiri. Berhijrah dari satu negeri ke negeri yang lain untuk mencari kesudahan yang bahagia. Mat mungkin masih mencari. Madeq pula, persinggahannya di Kota Kinabalu telah menemukannya dengan gadis yang bisa menemaninya untuk seumur hidup. Bisa menjadi penyokong untuk dia meneruskan cabaran hidup. Kini, hanya kestabilan ekonominya sendiri menjadi penghalang untuk dia mendirikan rumahtangga.

Selagi kita usaha, selagi itulah sinar bahagia tidak akan malap...



Sunday, May 31, 2009

mEngaNgGur...kErJa...

Hampir 3 minggu dia pulang bercuti ke kampung halaman. Bercuti? Ya, masih bercuti. Sedangkan hampir semua rakan-rakan yang lain sudah pun mula mencari kerja. Menyelak helaian akhbar dan menekan tetikus. Ada juga yang sudah pun menerima tawaran kerja. Yu Li, Clare, Sahar adalah diantara mereka.

Yu Li nampaknya seperti akan terus bermastautin di Kota Kinabalu. Dia mendapat tawaran kerja di Lintas. Tiada tanda-tanda mahu memulakan kerjaya di Selangor tempat kelahirannya. Mungkin ada sesuatu yang menyebabkan dia berminat untuk terus tinggal di sana.

Sahar terus b
erkerja dengan syarikat pak ciknya, tempat Madeq melakukan latihan industri. Berat juga bagi Sahar untuk menolak tawaran kerja ini. Diluah mati emak ditelan mati bapa. Namun janji tetap janji. Dari pemerhatian Madeq semasa melakukan latihan industri di sana, anak-anak Tuan Haji nampaknya kurang berminat dalam meneruskan perniagaan ini. Kurang minat untuk mewarisi empayar ciptaan bapa mereka. Mungkin kerana ini, Tuan Haji berharap benar pada Sahar. Berharap Sahar akan meneruskan perniagaan ini dan mengembangkannya. Susah juga kalau dibuat dalam keadaan terpaksa tapi Madeq yakin benar Sahar mampu melakukannya.

Clare pula dengarnya menerima tawaran bukan di Kota Kinabalu tapi di kawasan agak pedalaman. Tidak pasti dia menerimanya atau tidak. Itu pun Adam yang beritahu semasa ber YM dengannya 2-3 hari yang lepas. Adam pula masih mencari dan menunggu untuk dilamar dan ditemuduga.

Rakan-rakan yang lain agak sepi. Senyap tanpa sebarang berita. Mungkin masih mencari lagi. Madeq tidak mahu bertanya. Takut kalau-kalau menjadi satu tekanan pada mereka kalau masih tidak bekerja. Asyik ditanya sudah kerja ke belum pasti akan mendatangkan tekanan pada mereka yang masih menganggur.

Dia sendiri pernah merasakan tekanan seperti itu. Hampir 3 bulan tidak bekerja selepas ditamatkan kontrak dahulu. Separuh gila dibuatnya. Rambut habis berguguran walaupun tidak melahap mee segera sepanjang masa itu. Duduk dihadapan televisyen sambil mengunyah keropok menantikan surat tawaran tiba, setiap hari memang meyeksakan.


Nak dapat kerja kadang-kala memang susah tapi kalau senang dimanakah manisnya pula. Jangan memilih. Sapu saja mana kerja yang datang dulu. Bila dah dapat kerja, buat sehabis baik. Jangan tahu nak mengeluh dan komplen sahaja. Susah ke senang ke redah sahaja. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Cakap memang senang, nak dibuat satu hal yang lain pula...

Sunday, May 17, 2009

sEpI......bAhaGIa

Beberapa ceritera berdarah pada masa lampau hampir menenggelamkan dia dalam kesunyian ditengah bingit kekalutan ribuan manusia. Kisah-kisah yang dia tidak mahu ingati selalu sahaja bermain di ruang minda, selalu terbayang di birai mata. Bila ditambah dengan suasana yang sunyi hening, mutiara jernih selalu akan menitis.

Namun episod sedih dan pilu itu semuanya sudah berakhir.

5 haribulan 5, tahun 2009 bersamaan dengan hari Selasa mengikut kalendar barat. Pada tanggal ini, dengan secara rasminya dengan bersaksikan kegelapan dan pukulan ombak di pantai Teluk Likas, dia mengakhiri zaman sepinya.

Sepi, gelap dan air mata hanyut dengan terlafaznya kata 'iya' dari mulut seorang gadis. Tanda setuju dan menerima Madeq sebagai kekasih kini dan suami akan datang. Walaupun secara tidak rasminya, mereka boleh dikatakan sudah berpacaran namun bagi Madeq kata-kata lisan dan pertentangan empat mata semasa melamar adalah amat penting.

Dia mahu dengar sendiri. Dia perlu dengar sendiri dari mulut gadis ini.

Dengan tangan dipegang erat, Madeq pun melafazkan kata janji untuk menjadikan gadis ini sebagai kekasih. Setelah 27 tahun bernafas di dunia fana ini, akhirnya ada juga gadis yang sanggup menerima dia sebagai teman hidup.

Inilah hadiah yang dinanti selama 27 tahun.

'Terima kasih Sayang kerana sudi mewarnai hidup yang sebelum ini hanya hitam putih.'

'Episod sedih, nyah ko dari hidupku. Kesudahan bahagia, nantilah aku dipenghujung ceritera ini.'





Monday, May 11, 2009

kERja ???nOt yEt LAh...

Minggu peperiksaan sudah pun berakhir. Viva juga sudah berakhir bagi pelajar-pelajar kejuruteraan awam tahun akhir. Sekarang ini rata-rata sedang membuat pembetulan terakhir sebelum di buat kulit keras.

Madeq sebetulnya seawal lagi sudah boleh pulang ke kampung halaman. Dia tiada viva. Tiada Final Year Project. Dia extend. Rakan-rakan sekelasnya sekarang ada yang sudah pun menerima tawaran kerja, ada juga yang sedang pening untuk menerima tawaran yang mana. Sungguh semangat sekali untuk memulakan kerjaya. Tidak sabar-sabar sekali untuk memegang wang sendiri. Bagus. Bermotivasi.

Bagi Madeq yang extend, semua itu tidak penting. Sekurang-kurangnya masih belum penting lagi. Namun dia tahu, dia tidak akan berasa begitu teruja untuk bekerja walaupun sudah tamat masa extendnya nanti. Dia sudah biasa bekerja. 2 tahun bekerja dalam bidang pembinaan. Baginya kerja adalah sesuatu yang membosankan. Tidak dapat enjoy seperti ketika menjadi pelajar.

Kerja adalah tidak lain menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Sama ada suka atau tidak, tahu atau tidak amanah itu harus dilaksanakan. Dilaksanakan dengan baik bukan dengan secara cincai. Buat cincai, tak sampai 3 bulan pasti dah kena tendang. Ini tak termasuk kerja kerajaanlah. Buat kerja cincai pun gaji tetap masuk juga bila hujung bulan. Tapi gaji itu dikira halal atau tidak, sendiri fikirlah.

Amanah kerja bukan semata-mata kerana tugas yang diberi oleh majikan. Amanah itu secara tidak langsung datangnya dari Yang Maha Esa. Melaksanakan dan menjaga amanah itu menjadi wajib kerana ianya datang dari Pencipta Alam ini.

Dia masih ada satu semester lagi untuk ditamatkan. Kemudian dia akan kembali dalam alam pekerjaan. Kali ini dia akan bekerja bukan seperti dahulu hanya untuk dirinya. Kali ini adalah untuk dirinya, keluarganya dan orang lama tapi baru muncul dalam jiwanya...

Wednesday, April 15, 2009

goLonGaN jIJiK....?

Sepatutnya dia yang berang. Sepatutnya dia yang kecil hati. Ini sebaliknya, dia yang masih dipersalahkan, sedangkan dia yang mulanya menjadi mangsa. Memang mungkin sudah menjadi lumrah dunia akhir zaman ini, si mangsa yang akan dipersalahkan. Banyak kejadian di dunia yang terjadi seperti itu. Tidak perlu lagi diberikan contoh.

Tidak cukup baikkah dia selama ini. Tidak cukup sayang dan hormat lagikah dia pada kawan-kawannya. Atau tidak cukup layak lagikah dia untuk berkawan dengan mereka-mereka ini. Mungkin ada yang rasa dia ini seorang yang jijik, hina dan cukuplah hanya mengenali nama dan fizikal sahaja. Tidak perlu tahu lebih-lebih. Buat buang masa sahaja.

Jumaat malam Sabtu yang lalu, dia keluar makan bersama rakan-rakan bola keranjangnya. Ren Yih, Ah Tiew, Ah Lum, Raymond dan Madeq dirinya. Lima orang. Empat Chinese dan seorang Melayu. Jarang ada pemandangan sebegini tapi bagi Madeq ini sesuatu yang biasa. Rakan-rakan bola keranjangnya ini boleh dikatakan sebagai rakan sejati. Dia dihormati dan dia menghormati mereka. Walaupun terkadang mereka ada tersalah bicara yang megusik hati kecilnya tapi Madeq mengerti itu adalah disebabkan kecetekan fahaman mereka tentang Islam dan Melayu.

"Sebab itulah saya tak pergi church", kata Ah Tiew.
"Pergi sembahyang pun masih mulut busuk. Masih bastard orang lain lagi. Lepas tu pergi church minta ampun lagi. Cheh", sambung Ah Tiew.

Satay dan hidangan makanan yang lain sudah pun licin disapu mereka berlima. Tinggal minuman sahaja yang masih diteguk sedikit demi sedikit sambil bercerita. Ren Yih telah pun pulang kerana ada janji temu dengan Anthea, teman wanitanya. Tinggallah mereka berempat meneruskan sembang kedai kopi. Topik utamanya, itulah "Kenapa Ah Tiew Tak Pergi Church". Ah Tiew membuka bicara. Barulah Madeq mengerti. Acap kali Ah Tiew di'kena'kan oleh rakan-rakannya yang kuat ke church tapi bagi Ah Tiew tiada gunanya jika hati masih begitu. Tiada rasa hormat-menghormati antara manusia. Berulang kali di bastard membuatkan persepsinya terhadap golongan church ini ke arah negatif. Mungkin ada benarnya apa yang dikata dan dirasakan Ah Tiew.

Madeq sendiri dapat rasakan. Semalam sedang dia dan Herul menjamu selera tengahari di Farvis, rakan-rakan Herul muncul. Restoran awam kan, siapa-siapa pun boleh datang. Herul disapa, ditegur dan disalami oleh mereka bergilir-gilir. Namun tiada satu tangan pun dihulur kepadanya. Memandang pun dengan ekor mata sahaja rasanya apatah lagi nak bersalaman.

Kenapa?

'Bukan Muslimkah aku? Tidak cukup Muslimkah aku untuk disalami. Atau aku bukanlah dari golongan mereka. Golongan yang selalu mengimarahkan surau dan masjid.'

Selalu Madeq bertembung dengan mereka sewaktu pulang dari bermain bola keranjang. Samada sewaktu mereka mahu pergi atau ketika mereka sudah pulang dari surau selepas menunaikan solat fardhu Maghrib. Mereka pulang dari surau, Madeq pulang dari gelanggang bola keranjang sewaktu Maghrib sudahpun hampir tiba ke waktu makruhnya.

Memang berbeza. Sama-sama Muslim tapi dari tempat yang berbeza. Mereka bersama rakan-rakan bersongkok dan berkopiah, Madeq pula bersama rakan baiknya Raymond. Mereka dengan haruman dan pakaian yang suci, Madeq dengan peluh dan bau yang melekat di badan yang hanya disalut jersi bola keranjang. Mungkin ini yang telah menjatuhkan jijik dan hina mereka pada Madeq.

Madeq tidak tersa sangat dibuat begitu. Mereka ini bukanlah kenalan rapatnya. Namun bila kenalan rapat yang sudah berkawan hampir selama empat tahun buat begitu, cabik hatinya. Terasa bagai disiat-siat jiwanya. Hanya kerana solatnya tidak penuh dan berseluar katok, menjadikan dia di luar kelas atau dari golongan yang memalukan jikalau menjadi kenalan.

Adakah begitu?

Mungkin juga kerana namanya Mahathir. Tiada yang indah pada nama itu. Tiada Firdausi, tiada Sheikh di depan namanya. Atau hanya kerana dia tidak membahasakan dirinya sebagai 'Ana'. Orang lain yang lebih berbau Muslim boleh sahaja melawat, boleh sahaja meninggalkan komen. Dan ada komen-komen itu dibalasnya juga. Bila orang jijik ini mengetahui dan melayari, mungkin ada tercalit rasa malu pada golongan intelektual Islam tadi.

Tidak mengapa. Dia memang pun bukan dari golongan songkok dan kopiah. Tidak juga menyebut diri sebagai 'Ana'. Cukuplah aku, kau, saya, awak sebagai tanda menghormati.

Adakah kecelaruan golongan ini membuatnya benci?

Sekali-kali tidak.

Membuatkan dia tidak lagi mempercayai?

Pun tidak dan jauh sekali.

Apa yang dia dapat simpulkan dari kejadian-kejadian yang berlaku ini adalah, manusia amat lemah. Tidak lari dari kesilapan dan kesalahan. Manusia tiada kesempurnaan kecuali Junjungan Muslim seluruh alam. Kelemahan dan kecelaruan ini membuatkan dia berfikir dan akan mencuba memperbaikinya. Tidak dia mahu menuding jari pada kesalahan orang lain sedang empat jari lagi menunjuk pada dirinya sendiri. Peristiwa-peristiwa dunia ini membuatkan dirinya lebih dahaga. Dahaga akan ilmu Islam. Akan dia dalami perlahan-lahan seperti bayi yang baru belajar merangkak. Biarlah orang kata dia baru mahu mengenali Alif, Ba dan Ta. Dia tidak peduli. Dia tahu belum terlambat baginya. Bukan semua ada dibuku, peristiwa disekeliling juga mampu memberi pengajaran.

Dia minta maaf kalau ada rakan-rakan yang kecil hati, marah atau menyampah padanya, atas kekhilafan dirinya.

"Sama-samalah kita belajar, sama-samalah kita mengerti, sama-samalah kita fahami dan aku minta dimaafkan segala perbuatan, kata-kata dan niat buruk aku padamu teman-teman."

"Al-Fatihah aku sedekahkan pada Dr. Mohamad Harimi yang telah dipanggil menghadap Ilahi, semoga rohnya ditempatkan bersama golongan yang soleh. Amin."



Friday, April 10, 2009

tIpu...

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud; siapa yang menipu bukanlah dari kalangan umatku...

Begitu kerasnya amaran dari Rasulullah.

Baru-baru ini, Madeq ditipu. Bukanlah boleh dikata ditipu kerana dia telah pun tahu jawapannya. Sengaja ditanya lagi untuk mengetahui jawapan apa yang akan dijawab. Jawapan yang sebagai mana yang akan dinyatakan temannya itu.

Ternyata temannya ini berdusta. Mencipta rangkaian imaginasi untuk menutup kebenarannya. Mengolah karya helah mengakali rakan sendiri.

Madeq tidak marah tapi dia kecewa. Kenapa perlu berdusta? Payah sangatkah untuk menyatakan kebenaran? Apa dengan mengatakan sesuatu yang benar itu memalukan diri sendiri?

Akhirnya dia mengaku. Mengaku yang dia telah menidakkan kebenaran, membohongi segala apa yang benar. Namun tidak secara berdepan. Hanya melalui SMS. Mungkin tak sanggup lagi menipu dan akhirnya terpaksa mengaku jujur juga.

Manakan tidak. Satu penipuan pasti akan ditutup dengan penipuan yang lain. Dan penipuan itu pula disangkali dengan dusta yang lain pula. Begitulah seterusnya. Hinggalah lubang dusta itu pecah sendiri. Akhirnya siapa yang akan malu.

Tak kisahlah jikalau orang lain yang menipunya. Orang luar yang tidak dikenalinya. Orang yang tidak pernah ditaruhkan kepercayaan. Dia tidak pernah berharap ada dikalangan rakan-rakannya sendiri yang menipunya. Alangkah sakitnya hati dia rasakan. Berbekas hingga ke tulang hitamnya.

Dia telah pun meminta maaf. Dan Madeq telah pun memaafkannya. Ikhlas memaafkannya, atas nama persahabatan yang sekian lama telah terjalin. Sedangkan Nabi ampunkan ummat, inikan dia yang kerdil dimata Ilahi. Dia tahu temannya itu insan biasa. Tidak lari dari kesilapan. Tidak lari dari kekhilafan. Ummat Muhammad mana yang tidak melakukan kesalahan. Jawapannya tiada.

'Kali ni dia tipu aku. Dulu pernah ke dia tipu aku? Akan datang mungkinkah dia akan tipu aku lagi?'

Persoalan-persoalan begini selalu timbul dibenaknya. Namun Madeq takkan mengungkit. Dia harap tiada lagi pendustaan selepas ini. Sahabat, rakan, kawan, teman, peng you, friend, nakama dan seerti dengannya tidaklah sepatutnya didustai. Ibu bapa lagilah. Kalau nak rasa kehidupan dineraka, cubalah menipu mereka. Rakan-rakan sepatutnya dihargai dan dihormati.

Sekurang-kurangnya itu yang Madeq rasa, itu yang Madeq mahu, itu yang Madeq harapkan daripada rakan-rakannya.

Wednesday, April 8, 2009

tUgaSAn...

Final exam is just around the corner tapi masih banyak yang dia tidak tahu. Masih banyak yang dia tidak mengerti. Dalam semua subjek yang di ambil, hanya Advanced Transport je yang nampaknya mempunyai harapan. Itu pun mungkin dalam B- sahaja. Bergantung juga kalau dia mampu menjawab pada peperiksaan akhir nanti. Yang lain, haram...

Tugasan-tugasan pun masih banyak yang tergantung lagi. Terpaksa dia siapkan semasa seminggu cuti untuk menelaah. Advanced Highway, Project Design, Numerical dan tak dilupai juga, Steel and Timber Design. Nampaknya cuti minggu belajar ini dia terpaksa habiskan dengan membuat tugasan bukannya dengan belajar untuk peperiksaan akhir.

Tugasan berkumpulan. Itu yang paling susah hendak dilangsaikan. Di ajak berbincang, ada sahaja hal yang menghalang. Ada sahaja hal yang lebih penting dari menyiapkan tugasan. Bila berjumpa...

"Madeq, assignment kita macam mana. Dah buat ke? Bila nak buat?"

Itu soalan yang keluar. Nak sahaja dia memaki hamun. Kawan punya fasal, dia diamkan saja. Dalam hati, tuhan sahaja yang tahu..Bila ajak buat, pelbagai alasan. Bila masa dah suntuk baru nak gelabah. Boleh pula tu tanya dah buat ke belum. Nama pun tugasan berkumpulan, mestilah buat berkumpulan, takkan nak buat secara solo dan yang lain hanya menumpang saja kan. Dia nekad, kalau tiada kerjasama biarlah tugasan itu terus tergantung. Biarlah sama-sama tiada markah. Biarlah sama-sama dapat D atau lebih teruk dapat E. Lagi bagus biarlah sama-sama extend.

Malas dia nak melaksanakan seorang diri. Dia bukan ketua. Tiada pernah orang melantiknya sebagai ketua tapi dia rasakan bagai semua tanggungjawab itu jatuh atas kepalanya. Yang lain, masih bergoyang kaki menanti hasil.

Ini masalahnya bila tugasan berkumpulan. Dahulu, dia pun begini juga. Hanya menjadi ahli hantu. Beri nama, bagi nombor matriks. Selesai. Kerja-kerja mengira, memplot dan sebagainya ada orang lain yang laksanakan. Paling-paling pun dia hanya akan menaip dan mencetak dan menghantar.

Kalau dapat sekumpulan dengan top student bolehlah buat begitu. Mereka pun tak harap yang pelajar kelas kedua macam Madeq ni buat kerja yang susah. Mereka tidak mahu markah mereka dijadikan taruhan. Walaupun satu markah, amat penting bagi mereka. Bila mana sekumpulan dengan mereka yang sama taraf, inilah jadinya. Masing-masing mengharap antara satu sama lain. Masing-masing tidak mahu bertanggungjawab. Bagi Madeq senang sahaja. Seorang lepas tangan, dia pun akan lepas tangan.

Tugasan oh tugasan, sama-samalah kita saksikan kesudahannya...

Wednesday, March 25, 2009

tHirD...

Semalam ternoktah sudah sebuah perjuangan. Semalam menjadi hari terakhir mereka menitiskan keringat bersama. Semalam juga pasti akan menjadi pembakar semangat mereka untuk meneruskan perjuangan ini pada semester yang akan datang. Tirai Interschool bagi pemain-pemain bola keranjang SKTM telah pun berlabuh. Pentas terakhir telah pun dipadamkan cahayanya.

'Box one'. Strategi ini telah digunakan dalam perlawanan terakhir untuk merebut tempat ketiga dalam menentang SSMP. Dan ianya berkesan. Gotong dan Yok Bin bergilir-gilir mengawal Ang dengan strategi ini. Ang berjaya dikekang dan ini bermakna punca mata utama bagi SSMP telah pun disekat. Manakala empat pemain yang lain yang bermain secara zon menunjukkan tahap komunikasi yang bagus. Perlawanan ini berakhir dengan kemenangan berpihak pada SKTM, pasukan Madeq. Pasukan yang dia sendiri bentukkan. Pasukan yang cukup adil kerana terdiri dari pemain dari setiap tahun, hampir setiap program. Dan setiap dari mereka bermain dalam semua perlawanan. Iyalah, kecuali jika tidak datang. Dengan terkekangnya pemain utama SSMP, SKTM membenam mereka dengan 66 berbalas 41. 10 mata dari 66 adalah milik Madeq sendiri. Tidak banyak tapi cukup untuk membantu pasukannya.

Namun begitu, sebenarnya tidak pernah terlintas langsung di fikirannya yang tip off terakhir adalah untuk merebut tempat ketiga. Dalam gambaran awalnya, pentas terakhir pastilah menentang SST. Sekolah yang mempunyai tiga orang pemain UMS, salah seorangnya kawan baik dia sendiri, Raymond dan seorang pemain yang pernah mewakili Sabah, Ah Ken. Nama yang pasti diketahui oleh setiap pemain bola keranjang di UMS ini. Ditambah pula dengan seorang freshy yang bermain mewakili Terengganu, Wan. Pasukan dari SST ini memang cukup lengkap dan boleh dikatakan sempurna.

Pasukan dari SKTM juga sebenarnya tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dari segi statistik. Ren Yih bekas pemain UMS, Fang Zhen juga pernah dipanggil untuk mewakili UMS. Jia Yaw pun begitu juga. Madeq sendiri merupakan pemain UMS. Walaupun Ah Tiew tidak pernah dipanggil mewakili UMS tapi pengalamannya sudah cukup membuatkan dia menjadi pemain yang cukup unik. Malangnya pemain simpanan SKTM masih belum cukup kuat, masih belum cukup pengalaman dan masih belum cukup matang.

Ini juga menjadi pengajaran buat Madeq sendiri untuk tidak meremehkan kekuatan pasukan lain. Kekalahan mengejut pada pasukan SPE, sebuah pasukan underdog semasa perlawanan dalam kumpulan B telah menyebabkan pasukannya berakhir hanya di tempat ketiga setelah tewas pada SST di peringkat separuh akhir. Hanya layak untuk menghidu bau gangsa.

Setiap kejadian pasti ada hikmahnya. Dengan itu dia tidak akan mengeluh dengan apa yang terjadi. Dia juga tahu, adat permainan dan pertandingan pasti ada menang kalah. Dia menerima qada dan qadar ini dengan hati yang terbuka. Jika dilihat dari sudut positif, tempat ketiga ini adalah satu permulaan yang baik bagi pemain-pemain tahun pertamanya. Dia di tahun pertama langsung tidak berpeluang menyentuh pingat. Ini pasti akan meningkatkan semangat mereka untuk lebih memperbaiki diri dan mempertajamkan kemahiran untuk mengenggam emas pada temasya yang akan datang. Jika berjaya meraih emas sekarang mungkin mereka akan lalai dan mungkin juga akan meninggi diri.

Allah Maha Mengetahui setiap kejadian dan setiap kejadian itu pasti mempunyai sebab.

Perlawanan penutup merebut emas dan menerima gelaran juara antara SST dan SPE kini sedang dinanti. Di atas kertas SST tampak lebih gagah, lebih cerah peluang untuk menerima gelaran juara. Bola itu bulat, SPE pasti akan menentang habis-habisan. Kemungkinan bermain tanpa tonggak utama mereka, Ah Bi, percaturan strategi yang baru mungkin akan dipertaruhkan.

Pertandingan akhir yang pasti akan memecahkan peluh dan mungkin akan memercikkan darah pemain sedang menanti saat. Siapa yang bakal menjadi juara masih menjadi persoalan dan masih menjadi dugaan setiap mereka yang bergelar basketballers di UMS ini...

Thursday, March 12, 2009

bReAkfASt...

Dia melihat jam di tangan kirinya. 8:45 pagi.

Sudah lewat dari masa yang dijanjikan. Madeq tidak senang duduk. Diletaknya beg di atas meja dan kakinya mula melangkah. Melangkah dari satu papan kenyataan ke papan kenyataan yang lain di foyer SKTM. Dibacanya setiap berita yang dilekatkan di sana. Rata-rata berita lama dan aktiviti yang sudah pun berlalu. Tiada satu pun yang menarik perhatiannya.

Madeq kembali ke tempat diletaknya beg tadi. Kerusi ditarik dan dia duduk senyap. Amoi-amoi di sebelah memandang pelik. Mahunya tidak. Dari merayau-rayau tak tentu hala tiba-tiba duduk tanpa berbuat apa-apa.

Madeq tidak peduli. Dia menanti dengan penuh kesabaran. Lagi pun tadi dia ada menerima SMS dari orang yang dinanti.

'Assalamu'alaikum..jap
ya, xda bas pulak ni..'

Diliriknya jam di tangan sekali lagi. Jam 9 tepat. Tatkala itu juga, orang yang berjanji untuk membelanjanya sarapan pun muncul. Madeq bangun dan mereka berjalan beriringan ke kafe.

"Awak makan apa?" Tanya Amelia.

"Mee kari. Awak bayar la dulu." Madeq masih lagi menanti mee karinya yang masih dalam proses penyediaan.

"Saya tunggu awak la, nak bayar sekali." Balas Amelia.

Madeq hanya mengangguk.

Jarang-jarang sekali Amelia membelanjanya. Jarang atau tak pernah, dia pun tak pasti. Kalau ada pun mungkin secara tak rasmi. Kali ini berlainan. Amelia yang mengajaknya. Tidak pernah sekali dalam fikirannya yang Amelia akan mengajaknya makan bersama.

Namun Madeq tahu, Amelia membelanjanya untuk menunjukkan rasa terima kasihnya. Seminggu Amelia meminjam laptopnya. Mungkin seminggu itu masih belum mencukupi. Kalau bukan kerana dia ada ujian untuk mathlab, tidak dia akan meminta laptopnya kembali. Dia tahu FYP Amelia masih lagi belum sempurna. Amelia sendiri ada laptop tapi laptopnya tidak mampu menanggung berat perisian Google Earth dan juga dia perlukan internet untuk menggunakan Google Earth. Di sini, jalur lebarnya memainkan watak yang amat penting.

"Lepas test mathlab saya minggu depan, kalau awak nak pakai laptop balik boleh la." Ayat penyata dari Madeq.

"Em." Balas Amelia.

Tiada niat lain di hati Madeq membantu Amelia. Bukan balasan juga yang diharapkan. Bila mana ada kawan-kawan yang butuhkan bantuan, dia rela menolong. Dia tak kisah. Bahkan dia rasa lega bila dapat membantu.

Selalu orang salah sangka, bila seseorang lelaki berbuat baik dengan seorang wanita pasti untuk meraih cintanya. Padahal si lelaki memang ikhlas menolong. Inilah pandangan tipikal bagi mereka yang berfikiran sempit, berjiwa kampung.

'A friend in need is a friend indeed'. Itulah yang dipegangnya.

Jika bukan kawan, pada siapalah jiwa ini harus berbakti...

Kawan, rakan, sahabat atau apa sekali pun gelaran yang sama erti dengannya adalah merupakan golongan kedua yang terpenting dalam hidupnya selepas keluarga. Walaupun kadang kala dia kelihatan seperti tidak peduli tapi hakikatnya dia paling mengambil berat tentang perasaan sorang kawan.

'Selagi korang respect aku, selagi itu juga aku akan respect korang. Kawan bukan hanya sementara tapi untuk selamanya.'

Monday, March 2, 2009

faMiLy dAy...

Semalam sepatutnya dia bersama menghabiskan sehari bersama rakan-rakan sekelas. Semalam sepatutnya dia pergi bergembira di Karambunai. Malangnya tidak, dia memilih untuk tidak mengikut program Hari Keluarga itu.

Sememangnya dia mahu sekali pergi. Menghabiskan masa sehari bersama rakan-rakan sekelas. Mungkin juga untuk kali yang terakhir. Sudah pun masuk tahun akhir semester dua. Selepas bulan lima, semua rakan-rakannya akan bertaburan di seluruh Malaysia mencari kerja. Silap-silap haribulan, mungkin ada yang akan ke luar negara mencari rezeki.

Pagi semua orang berkumpul menunggu bas, dia di bilik. Masih menarik selimut. Kepalanya terasa berat. Bunyi SMS dari Kerul seawal pagi tadi menyebabkan dia terus tak dapat melayari mimpi indah. Matanya hanya terkebil-kebil memandang siling.

Selimut diselak. Kakinya pantas melangkah ke tandas. Hingus yang ditatangnya sedari tadi harus dibuang. Selang beberapa saat kemudian, dia kembali di bawah selimut. Kepalanya masih berdenyut. Dia menyentuh dahinya.

'Panas. Sama macam malam tadi.' Demam ini membuatkan badannya lemah. Longlai tidak bermaya.

'Apalah aktiviti diorang semua kat Karambunai tu?' Madeq cuba meneka.

Di dalam karungan selimut, fikirannya terkenang peristiwa dua tahun lepas. Ketika dia masih di tahun dua pengajian. Di tempat yang sama, dia dan rakan-rakan sekelasnya mengikut Hari Keluarga yang pertama kali dianjurkan.

Sewaktu itu, dia masih dirinya. Happy go lucky. Tiada sebarang cerita dan tiada sebarang berita yang mampu menghibakan hatinya. Dia bebas. Bebas dari belengu emosi yang mengcabik hati dan mengoyak perasaan.

Kini, keadaanya tidak sama seperti dahulu. Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan memaksanya menghadapi keadaan yang semakin menekan. Walaupun sudah dapat diatasi tapi perasaan dahulu itu memang sukar untuk kembali. Berlakon untuk sudah melupakan segalanya dan membuka buku baru dalam perhubungan. Sesungguhnya dia masih berada dalam buku lama cuma dalam karakter yang berbeza. Karakter yang bukan dirinya. Dia tidak mahu menukar buku kerana sayang itu masih ada.

Tidak ramai yang tahu apa sebenarnya yang terjadi. Mungkin tiada orang yang tahu pun. Dia memang tidak bercerita pada orang lain. Sama seperti Madeq yang tidak suka bercerita tentang kehidupannya. Hubungan yang pernah keruh itu kini kembali jernih. Seakan tiada apa yang pernah berlaku walhal hati ini masih terasa sayunya. Dari pihak dia, Madeq tidak tahu.

Madeq memejam mata. Masih lagi mengenang peristiwa di Karambunai dua tahun lalu.

'Ya Allah, indahnya kenangan yang Kau kurniakan padaku di saat itu.'

Sunday, March 1, 2009

oPeNInG cEreMOnY...


Hujung minggu lepas, buat julung-julung kalinya, UMS mengadakan perbarisan atlet untuk majlis pembukaan Liga Sukan. Kali ini, liga sukan agak berbeza. Tiada lagi pertandingan antara kolej-kolej kediaman. Liga sukan kali ini adalah pertandingan antara sekolah-sekolah. 'Interschool'. Itu yang digelar oleh para atlet yang terlibat. Memudahkan dan tidak keliru dengan tema liga sukan versi lama yang melibatkan kolej kediaman.

Tiga tahun di UMS, dia menjadi wakil bagi kolej kediaman E. Banyak kenangan pahit dan manis diterokai bersama pasukan ini. Dari pertandingan antara kolej kediaman, pertandingan piala merdeka di Tuaran dan yang paling jauh pertandingan Terbuka Labuan. Setiap tahun dia dan pasukannya pergi ke Labuan menyertai terbuka Labuan itu. Dan setiap kali itulah juga hanya tempat ketiga yang berjaya di raih. Namun dia puas. Rakan-rakannya itu semua menunjukkan semangat yang tinggi. Komitmen. Bukan kemenangan yang dia ingin perolehi tapi rakan sejati yang terbentuk dari semangat berpasukan ini.

Pada tahun keempatnya pula, dia bermain untuk King Fisher. Bukan tidak sudi bermain untuk kolej E tapi ada masalah dalaman yang menyebabkan dia tawar hati. Dia, Raymond dan Along sama-sama menarik diri dan menyertai King Fisher. Lagipun rata-rata pemain pasukan King Fisher adalah pemain UMS sendiri. Rakan yang sama-sama berjuang sewaktu MASUM dahulu. Kenal dan lebih mesra. Tidak seperti pemain di kolej kediaman E yang rata-rata pemain tahun satu dan dua. Pemain yang tahu bermain bola keranjang tapi tidak tahu apa itu semangat kesukanan. Dia memang tidak boleh menerima orang sebegini.

Kali ini berlainan kisahnya. Dia menjadi wakil bagi Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat (SKTM). Selain menjadi pemain, dia juga adalah ketua pasukan dan juga pengurus bagi bola keranjang. Bukannya gila kuasa tapi lebih senang bila pemain sendiri menjadi pengurus. Kalau biarkan orang yang tidak bermain bola keranjang, alamat hancurlah. Dia masih sama pasukan dengan Along. Along adalah juniornya. Malangnya tidak Raymond. Raymond mewakili Sekolah Sains dan Teknologi (SST). Pertembungan SKTM dengan SST memang dinanti-nantikan. Kedua-dua pasukan ini dari awal lagi telah dijangka akan bertemu di pertandingan akhir nanti. Namun begitu pasukan lain juga pasti akan memberi cabaran.

Sembilan pemain dari pasukan bola keranjang hadir bagi upacara pembukaan itu. Dua tidak berminat manakala satu lagi ada hal yang tak dapat dielakkan. Tidak mengapa. Asalkan ada yang memberi sokongan terhadap dia sebagai pengurus, itu sudah mencukupi.

Majlis pembukaan yang diadakan kali ini agak hebat juga. Kalau tidak silap, Menteri Pengajian Tinggi Sabah ada juga datang memberikan ucapan. Tari-menari untuk menghiburkan penonton juga ada disajikan. Yang paling mengejutkan adalah tembakan roket untuk menyalakan obor.

'Canggih dan kreatif'. Puji Madeq dalam hati.

Upacara yang diadakan ini benar-benar membuatkan dia berasa sekurang-kurangnya pihak Unit Sukan ada inisiatif untuk menghargai para atlet. Atlet yang selama ini rasa terabai, dianak tirikan kerana hanya yang berjaya sahaja selama ini dihargai dan diberi insentif. Walaupun tidak sehebat upacara pembukaan untuk MASUM dulu tapi ini sudah memadai. Dengan lafaz ikrar yang dibaca oleh Linus dan diikut oleh para atlet membuatkan semangat atlet untuk bertanding semakin tinggi. Dia juga rasa begitu. Tidak sabar untuk memulakan perlawanan pertama.

Sokongan dari warga UMS juga memberansangkan. Ramai yang datang untuk menyaksikan upacara pembukaan itu. Duganya yang upacara ini pasti membosankan nyata sama sekali meleset. Sambutan yang diberi memang menggalakkan. Caroline dan Asmah, rakan sekelasnya juga datang memeriahkan suasana walaupun mereka tidak bersukan.

"Madeq, nampak kami ka diatas ni?". Caroline menelefon.

Segera Madeq menyisipkan kaca matanya.

"Mana?"

"Sini atas ni. Asmah pakai tudung putih, saya pakai baju merah". Balas Caroline.

"Oh! Nampak sudah". Segera Madeq melambaikan tangan, membalas lambaian Caroline, gadis Dusun itu.

Lebih melesetkan lagi duganya pada malam pembukaan ini adalah dengan adanya kehadiran Amelia dikalangan atlet untuk SKTM. Dia benar-benar terkejut dan tidak menyangka akan adanya Amelia di dalam barisan atlet. Keindahan malam itu dirasakan lebih bersinar. Entahlah kenapa. Dia sendiri pun tidak mengerti. Amelia bukanlah atlet. Dulu, waktu sekolah menengah mungkinlah.

Madeq memanjangkan leher untuk melihat atlet perempuan yang lain.

'Padanlah, ada budak-budak Chemical rupanya'. Bisik hati Madeq apabila melihat adanya kelibat Maryam dan Stephanie. Dua orang pemain bola jaring dari Chemical Engineering. Mereka antara teman baik Amelia.

Mahu saja dia menegur dan menyapa Amelia tapi hatinya berkata biarkan saja. Dia tidak berapa masuk dengan budak-budak Chemical itu. Kenal tapi seakan-akan ada penghalang antara hubungan ini. Bukan benci tapi ada hal yang berlaku dulu menyebabkan dia susah untuk bergaul dengan budak-budak Chemical ini. Dia juga tidak mahu Amelia serba salah nanti.

'Nanti-nanti dalam kelas pun aku boleh sembang dengan dia'. Pujuk hati Madeq. Biarkan dia menghayati malam ini.

Seakan-akan dapat membaca fikiran Madeq, Ah Tiew segera mencadangkan supaya mereka mengabadikan kenangan ini bersama. Satu klik gambar pun diambil. Madeq, Amelia, Ren Yih dan Ah Tiew. Nasib juga dia ada membawa kamera bersama. Tidak rugi dia menanggung beban kameranya itu.

'Apa pun, thanks ya Ah Tiew'...

Monday, February 23, 2009

uNbeATabLe...


"Ball!" Jerit Gotong.

Madeq segera membuat baseball pass. Tepat sampai ke tangan Gotong. Satu lagi lay up dari Gotong menghasilkan dua mata.

Begitulah hampir setiap perlawanan. Serangan pantas dari Gotong akan melenyapkan harapan pihak lawan. Serangan 3 mata dari Madeq pula akan meleburkan impian untuk merampas gelaran juara dari program kejuruteraan awam. Sudah 2 tahun program kejuruteraan awam mengekalkan kejuaraan dalam pertandingan bola keranjang untuk Piala Dekan.

Ah Tiew, Ren Yi, Along. Ditambah lagi dengan Wei Lun dan Ah Yong. Tidak lupa juga kekuatan lompatan Ronald. Barisan belakang Civil memang tak dapat dikalahkan lagi. Mustahil untuk meruntuhkan tembok sekuat ini. Rebound pasti dalam tangan. Ini memudahkan kerja Gotong dan Madeq untuk menyerang. Dengan barisan sekuat ini, Civil telah membelasah semua program lain dengan purata 50 markah dengan hanya belasan yang dapat diperoleh pihak lawan.

"Block out, rebound!" Arah Madeq.

Satu lagi rebound dari Wei Lun. Segera diserahkan pada Madeq dan satu lagi baseball pass pada Gotong.

'Pritttttttt....!!!' Satu tiupan wisel yang panjang menandakan tamatnya perlawanan akhir. 60 berbalas 17. Civil membenam Chemical engineering. Mereka memang tidak mampu menandingi kekuatan Civil. Namun begitu, pujian harus diberi pada mereka kerana ini kali pertama mereka mampu melangkah ke pertandingan akhir. Sebelum ini, Chemical engineering hanyalah satu pasukan belasahan. Menjadi pasukan untuk dibuat pemanas badan sahaja.

Berakhirnya perlawanan akhir itu, bermakna ini adalah kali ketiga berturut-turut program kejuruteraan awam menjadi juara. Tradisi kejuaraan ini dimulakan dibawah pimpinan seniornya, Chee Soon dan diteruskan oleh Madeq sendiri.

Dia puas. Kejuaraan Piala Dekan tahun lepas dia tidak dapat bermain dengan baik akibat kecederaan pada tulang paha kanannya. Membuatkan dia tidak dapat berlari seperti biasa. Pergerakan pun terbatas. Walau pun doktor menasihatkan supaya berehat sementara dari bermain tapi kedahagaannya terhadap bola keranjang tidak dapat dihalang. Kali ini, dibawah pimpinannya dan juga dengan kurniaan fizikal yang sihat dari Ilahi, dia mampu membawa pasukannya mempertahankan kejuaraan. Dia benar-benar puas. Dia juga berharap semangat ini akan kekal dalam jiwa pemain-pemain juniornya dan berharap mereka akan dapat terus memperoleh emas untuk tahun-tahun berikutnya, selepas dia meninggalkan UMS.

Hujan mencurah turun sebaik sahaja dia tiba di bilik setelah selesai majlis penyampaian pingat yang berakhir sekitar jam satu setengah petang. Mandi kemudian makan. Dalam keadaan yang sejuk dan letih ini, yang paling sesuai dilakukan hanyalah satu, tidur.

Letak sahaja kepala, dia terus terlelap. Mustahil untuk dia mengetahui jam berapa dia terlena. Tapi satu perkara yang dia tahu, dia terjaga semula hanya bila dia terdengar azan. Bukan azan Asar. Bukan juga azan Maghrib tapi azan Isyak.

'Biar betul ni. Nasib tak terlepas sampai subuh esok.'

Madeq bingkas. Segera dia menyucikan diri. Seterusnya mengadap nota Finite Element Method. Study!

'Esok ada ujian lagi. Adoi la...'

Friday, February 20, 2009

15 fEbrUaRY...

'Setahun setelah kau pergi,
Ku masih sembunyi,
Di balik senyum palsu,
Ku dengar dirimu,
Tak sendiri lagi...
Betapa hancurnya...'

Senyum palsu... Masihkah dia..? Dia sendiri tidak pasti. Bait-bait lirik lagu dari S07 ini acap kali menyentuh perasaannya.

'Setahun setelah kau pergi'.

Ya ampun, memang telah genap setahun. Setahun sudah dia tidak mendengar bicara keletah manja dari seseorang. Seseorang yang pernah dianggapnya sebagai takdir hidupnya, yang akan bisa menjadi teman sepanjang hayat. Menjadi peneman dikala susah dan senang.

'Tak sendiri lagi'.

Waktu dia dapat tahu, memang hatinya hancur, berkecai, bersepai dan semua perkataan yang ada dalam kamus bahasa Melayu yang sama erti dengannya. Sewaktu itu dia cuba untuk menyembunyikan perasaannya. Sehabis daya untuk mengelakkan titisan air jernih gugur dari kelopak mata di hadapan kawan-kawannya. Namun dia tahu, ada di kalangan kawan-kawannya yang perasan perubahan yang ada pada dirinya. Mereka seakan mengerti dan hanya diam. Mereka tahu, dia tidak akan bicara biar pun ditanya.

Naluri seorang ibu memang sangat kuat. Anugerah yang diberi oleh tuhan. Seawal pagi lagi, ibunya sudah menelefon. Menanyakan khabar berita. Seakan-akan tahu yang anaknya ini dalam kesedihan dan kegelisahan. Air mata sudah tak dapat ditahan lagi. Empangannya pecah sejurus mendengar suara ibunya. Dia teresak-esak seperti anak kecil. Tidak dia ceritakan secara terperinci tentang apa yang terjadi. Dia tidak mahu ibunya ini risau.

"Takde apa-apalah, mama. Biasa-biasa je. Hal kecik je. Jap-jap lagi ni okey la". Dia berbohong.

"Jagalah diri elok-elok. Jangan fikir sangat. Ingat, apa yang terjadi semuanya kehendak tuhan. Dia yang maha mengetahui. Apa yang terjadi pasti ada hikmahnya."Balas ibunya.

"Em, okey. Mama jangan risau ye."

Talian diputuskan bila mana ucap jaga diri dilafazkan. Dan untuk 3 hari seterusnya, dia berendam air mata. Murung. Boleh dikira berapa patah perkataan yang dituturkannya. Proses pemulihan semangatnya memakan jangka masa yang amat panjang. Hingga kini, proses itu masih berterusan.

Inilah kali pertama dia rasa begitu. Kali pertama merasa betapa hebatnya hentaman kekecewaan. Seakan-akan langit runtuh menghempap kepalanya, gelombang lautan menelannya dan percikan api nirmala menyambar membakar tubuhnya. Warna-warni pelangi yang dahulunya menyerikan hati pecah menjadi kepingan kaca. Luluh dan menyucuk setiap inci tubuhnya. Mendatangkan kesakitan yang maha hebat. Mungkin ini adalah juga balasan terhadap dirinya yang satu ketika dulu pernah menidakkan cinta seorang gadis. Mungkin beginilah perasaan yang dirasai gadis itu. Setiap perbuatan pasti ada balasan.

Setelah setahun berlalu, kesakitan itu kurang dirasai lagi. Mungkin kerana dirinya telah pun menjadi zombi. Tapi kalau menjadi zombi, pasti hati ini tidak akan hiba setiap kali ia mengenang. Mengenang akan seorang gadis yang persis bidadari dunia. Seorang gadis yang telah berjaya menakluk roh cintanya.

Entah berapa tahun yang dia perlukan untuk mengumpul semula kekuatan dalam dirinya. Dan adakah lagi gadis lain yang mampu memberikan perasaan cinta sehangat ini. Membara membakar jiwa...

'Apakah itu tandanya bahawa...
Ku benar-benar cinta,
Ku benar-benar sayang,
Tak terjawab bila hati bertanya,
Ke mana kau hilang.......'


'Ya tuhanku, anugerahkanlah aku seorang gadis biar pun dia bukan bidadari dunia. Cukuplah seasalnya jiwanya mencintai aku sepenuh hati bila mana aku mencintai dia tanpa berbelah bahagi'. Amin...

Friday, February 13, 2009

sIbUk sEkALi...

Dua minggu. Dua minggu ini dia telah diduga dengan pelbagai acara. Acara yang disusun atur dengan rapi oleh Tuan yang punya dunia. Terasa amat panjang dua minggu yang dilalui.

Bermula dengan engkol motornya tercabut, memaksanya menaiki bas untuk tiga hari berturut-turut. Inilah kali pertama untuk semester ini dia menaiki bas untuk ke kuliah. Barisan panjang untuk menaiki bas umpama deretan semut hitam. Dia terpaksa menjadi penyumbang bagi deretan yang panjang sehingga ke perkarangan penginapan pelajar lelaki. Nasib juga, bas tidak putus-putus membuatkan barisan semut ini dapat bergerak dengan lancar. Namun begitu, dia tetap lewat tiba di kelas. Barisan panjang tadi menidakkan dia untuk sampai tepat pada masanya. Kerosakkan motornya membuatkan pergerakkannya menjadi terbatas. Tiga hari tanpa motor buruknya membuatkan dia begitu malas hendak bergerak kemana-mana.

Tidak pernah dia menyalahkan sesiapa. Dia menyalahkan diri sendiri. Dia sendiri tahu Sahar tidak tahu menunggang motorsikal, namun diberi pinjam juga. Rosak di kaki kawan dan bukan di kaki sendiri. Itu yang membuatkannya kesal. Sedikit sebanyak ia memberi impak dalam persahabatan mereka. Membuatkan dia susah untuk menaruh kepercayaan pada Sahar lagi.

Kesibukan ini disambung lagi dengan dua ujian dari Prof. Rao. Satu, Finite Element Method dan yang keduanya, Advanced Geotechnic. Dua subjek yang sukar dia mengertikan dan diuji pada hari yang sama. Walau pun dia sudah cuba menyiapkan diri untuk ujian ini, keputusannya tetap sama. Soalan ujian tak dapat dijawab. Mata mula meliar ke kiri dan kanan. Akhirnya, memerlukan bantuan dan kerjasama kawan-kawan baru kertas kosong di depannya tercoret.

Pada hari yang sama, tugasan dari Puan Lilian juga wajib di hantar. Walaupun tugasan bekumpulan, namun dua dari empat bahagian terpaksa dia yang laksanakan. Dari mengedit benda yang terlampau banyak kesalahan lebih bagus membuat satu yang baru. Sudahlah dihantar lewat, salah pula tu. Letih dibuatnya. Nasib baik sempat juga Hairul menghantarnya sebelum jam lima. Kalau tidak mahu juga dia mengamuk. Jam 430 petang baru mahu buat muka depan. Tak panas hatinya.

Tugasan dari Tan Kok Ji, pensyarah jemputan juga membuatkan masa yang singkat ini bertambah pendek. Belum sempat dia menyiapkan satu tugasan, datang satu lagi tugasan dari Ir. ini. Dia tak mahu lagi telat menghantar tugasannya. Menampakkan dia seperi tidak bertanggungjawab.

Jadual kuliah yang seringkali di ubah oleh Puan Noraini juga menambahkan tekanan. Kuliah dua minggu sekali, tak termasuk makmal yang wajib dihadiri seminggu sekali. Teknik mengajar yang dia rasakan amat teruk itu menambahkan lagi subjek yang dia tak mengerti.

Akhir sekali yang menambah tekanannya, cermin matanya pecah. Pecah tanpa sebab yang dia ketahui. Dua kerugian yang terpaksa dihadapi. Tidak nampak apa yang pensyarah tulis di papan dan ongkos untuk membuat cermin mata baru. Sehingga kini dia belum lagi membuatnya.

Satu-satunya perkara baik yang berlaku padanya hanyalah broadbandnya sudah mampu menjalankan tugas di dalam bilik walaupun taliannya tidaklah sekuat mana. Sekurang-kurangnya ia masih mampu berfungsi di dalam bilik.

Oh! Dan ada satu lagi perkara baik yang berlaku dan ini membuatkan dia berasa gembira...

Saturday, January 31, 2009

kEmbAli pAda yAnG sAtU....

Madeq berkalih. Mengiring ke kanan pula kali ini. Tak sampai beberapa saat kemudian berkalih lagi. Juga merasa tidak kena. Kanan kiri rasanya canggung. Dia tak dapat melelapkan mata. Mengantuk tapi gagal untuk tidur. Gagal untuk cuba melayari mimpi indah.

'Ah, mesti sebab lampu ni'.

Madeq bingkas. Segera menarik tirai tingkap untuk menghalang cahaya dari lampu jalan menembus masuk ke dalam bilik.

Badannya dihempas semula ke tilam. Mata dipejam rapat. Keadaan masih sama seperti tadi. Dia masih dapat mendengar bunyi putaran kipas yang diselang seli dengar dengkuran Kerul. Jarang benar Kerul berdengkur.

'Letih sangat agaknya'. Madeq meneka.

Dia tahu, bukan kerana cahaya lampu tadi dia tak dapat lelapkan mata. Dia tahu ada sebab lain. Otaknya berputar mengimbas kembali apa yang dia lakukan tadi. Apa yang dia katakan tadi.

Madeq sendiri tak sangka dia akan seberani itu. Meluahkan emosi yang tersarat di hati. Walaupun sesungguhnya dia memang masih belum bersedia tapi bila tajuk itu dibangkitkan, lebih baik diteruskan sahaja. Sedari dulu lagi dia memang takut untuk membicarakan soal ini. Namun, mungkin dia terpaksa hadapinya juga.

Segalanya bagai berlaku terlalu pantas dalam kelembapan dia menaip. Segala apa yang di kata, terjawab dengan senada. Madeq amat bersyukur disebalik jawapan itu.

'Alhamdulillah, mungkin belum tiba masanya tuhan membebankan aku dengan tanggungjawab itu.'

Allah tidak akan membebankan umatnya melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

Sering manusia bertanya, mengapa aku tak dapat apa yang aku idamkan. Jawapannya ada pada surah al-baqarah ayat 216.

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu meyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagi mu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui."

Mengingatkan itu, Madeq tenang. Kalaupun dia tak dapat memiliki hati, dia tetap memiliki perasaan. Perasaan sebagai seorang kawan. Matanya semakin layu. Dan akhirnya dia terlelap juga...




Tuesday, January 27, 2009

aFter TwO yEArS...

Assalamualaikum. Itu yang pertama di lafazkan setelah dua pasang mata ini bertemu untuk pertama kalinya dalam masa lebih kurang 2 tahun.

Madeq masih ingat lagi ketika kali pertama matanya memandang Yana. Dari kerusi di barisan terakhir memandang Yana di barisan ke dua, di dalam kelas bahasa Mandarin.

'Cantik'. Hati Madeq berbisik.

Kali pertama menegur bila terserempak di dalam perpustakaan. Apa yang dia buat di sana dia pun tak ingat lagi. Yang pasti mulai detik itu, dia dan Yana semakin rapat. Sepatutnya dia ikut Yana ke barisan kedua tapi sebaliknya Yana yang ke barisan terakhir.

Madeq tiada kenalan dalam kelas itu. Begitu juga Yana. Dari tiada, masing-masing memiliki satu. Satu yang membawa ke kedai buku Pengguin dan satu yang di bawa bersama berbuka puasa.

Namun cerita indah itu terhenti selepas kelas Mandarin semester satu berakhir. Walaupun masih sekelas pada semester dua, perasaannya sama sekali tidak sama. Madeq masih sendiri apatah lagi di dalam kelas yang hanya ada dua orang lelaki sahaja. Yana, sebaliknya kali ini ditemani rakan baiknya, Amira. Kemesraan dulu serasa hilang di mamah waktu.

Tahun satu telah berakhir. Tahun dua pun bermula. Tiada lagi kelibat Yana di mana-mana. Kelas Mandarin pun tidak lagi sekali. Sekolah pemakanan pun dah ditukar ke bangunan sendiri. Tidak lagi menumpang sekolah kejuruteraan. Peluang untuk berselisih pun memang kosong peratus. Walaupun begitu, Madeq sekali pun tak pernah melupakan Yana. Setiap kali hari jadinya, Madeq takkan lupa untuk menelefon dan menghantar SMS. Tahun satu, dua dan juga tahun tiga.

Semester satu tahun empat sudah pun tamat. Masuknya semester terakhir.

'Eh, komen dari Yana!' Madeq seakan tak percaya namun bibir menguntum senyum. Agak lama Yana ada dalam senarai friendsternya tapi sekali pun dia tak pernah menghantar komen. Apa mimpi agaknya. Hubungan kembali terpaut.

Selang beberapa minggu selepas itu, Yana menutup akaun friendsternya.

'Ah, kenapa lak ni? Baru nak mesra balik.Hurm!' Madeq tak puas hati.

Dan tak lama lepas tu, Yana muncul lagi. Kali ni dalam facebook pula. Muncul dengan status yang berlainan dari dalam friendster.

'Kes break la ni'. Madeq sudah mengerti. Dari dalam facebook, dia dan yana kembali erat dan membawa ke YM.

'Kita tengok wayang esok?'
'Hah!'

Walaupun dijawabnya 'hah' di dalam YM tapi akhirnya Yana setuju juga untuk keluar bersama.

Tuk, tuk! Tingkap kereta di ketuk sambil daun pintunya dikuak luas.

"Assalamualaikum!"

Dan sepanjang siang hari Selasa itu, mereka habiskan masa bersama di 1 Borneo...dan disambung dengan YM di malam hari....!

Dah lama Madeq tak rasa keindahan seperti ini. Hatinya mengukir senyum...Namun sukar di tafsir apa yang sedang berlegar di otaknya...


Saturday, January 24, 2009

tHe rOOm...

'Arghh, tekanan'.

Bukan sebab tugasan yang banyak, bukan sebab subjek-subjek yang dia masih tak memahami apa-apa tapi sebab broadbandnya tidak lagi mampu menjalankan tugas di dalam bilik.

'Apa punya malang la'.

Dulu, pernah sekali jadi macam ni. Dia mintak pertolongan Ida. Sentuhan ajaib Ida mampu mengembalikan fungsinya di dalam bilik. Kali ini, Ida pun tak dapat membantu. Sudah dia minta Ida tolong tengok-tengokkan. Namun, keputusannya tetap sama. Tiada 'line 3G' yang dapat dikesan di dalam biliknya. Dulu ada, sekarang tiada. Kalau kejap ada, sekejap tiada masih tak mengapa. Ini terus tiada.

Blok B2, rumah 13, bilik 3. Mempunyai pemandangan yang sangat indah. Membelakangi tasik buatan yang dikelilingi hutan bukit yang menghijau. Bukit ini yang menjadi faktor utama kenapa susah sangat nak dapat talian di dalam biliknya. Bukan setakat talian 3G malah talian belefon biasa pun sama juga. Maxis, Digi, Celcom, namakanlah apa pun, semuanya sama. Selalu dia terpaksa berlari keluar untuk menjawab panggilan. Paling tidak pun terpaksa menjulurkan kepala keluar tingkap. Silap hari bulan boleh kena ludah orang atas.

Siang tadi dia di sekolahnya. Sedari jam 11.30 pagi hingga jam 2 petang. Terpaksa jadi seperti dulu. Bila hendak melayari web, kenalah rajinkan diri untuk ke bangunan sekolah. Di sana ada wi-fi. Walaupun taklah laju sangat tapi cukup kuat tanpa putus-putus. Nasib juga dia ada motorsikal. Motorsikal yang di beli dari Au Yong dengan harga RM 700 itu cukup banyak membantu dan nasib juga motor tua ini tidak banyak ragamnya. Setakat tukar tiub tayar dan kabel brek ajelah setakat ini. Enjin masih tip top. Alhamdulillah.

RM 100 setiap bulan untuk bayaran broadband membuatkan dia rasa terbeban. Bukan dia tak terfikir mengenai bayaran bil ini dulu tapi dia tak menyangka kan semalang ini. Satu, 'line 3G' di biliknya tiba-tiba tiada dan duanya, perkara yang menyakitkan kepala dan juga hatinya adalah dia tak dapat pinjaman dari PTPTN untuk semester akhir ini. Di mana silapnya dia pun tak tahu. Bukan dia seorang saja, Kerul, Qado dan Herul juga menerima nasib yang sama. Kononnya, dia akan membayar bil bulanan menggunakan duit PTPTN tapi sekarang dia buntu.

'Dah la aku mintak duit kat kak long ngan mama tiap-tiap bulan buat makan, ni nak bayar menatang ni pulak. Seratus lagi tu.' Madeq bingung.

Apa langkah seterusnya, dia tak pasti. Batalkan akaun? Tak boleh lagi sebab dia perlu guna sekurang-kurangnya selama 4 bulan. Sekarang baru masuk bulan ketiga dan masih belum berbayar. Lagi pun agak rugi juga kalau batalkan akaun.

'Dalam bilik aku je takde line, tempat lain okey je. Kat tepeng tak pasti la plak. Kalau nak guna bole je lepak bilik Kerul. Bilik dia line full.' Madeq membuat kiraan.

"Malam ni ko pegi pustakaan tak?"
"Entah, mungkin tidak. Kenapa?" Balas Api, kawan sebiliknya.

"Aku ingat kalau ko gi aku nak follow. Boleh ko ajar aku cara nak download anime. Aku selalu buat tak dapat pun. Kalau dapat pun ambil masa beratus jam baru siap download. Letih nak tunggu."

"Kalau nak pegi pun boleh jugak."

Cepat Api menukar keputusan. Madeq dah agak dah, mesti Api nak pergi punya. Walaupun baru kenal, dia faham sangat sifat penggila 'anime' ni.Selagi ada waktu dan peluang untuk memuat turun 'anime' dia pasti takkan lepaskan.

"Okey, nanti aku cari helmet". Balas Madeq sambil tersengih.

Di bahagian belakang Megalab di dalam perpustakaan kini Madeq tersadai. Tersandar di dinding. Ada sekitar tujuh orang yang memenuhi ruang belakang Megalab ini. Rata-rata muka yang di kenali. Teman serumahnya juga ada di sini bersama seorang kawan dari Kelantan. Burn budak medik pun ada. Selalu dia berdua tapi hari ini tidak nampak kelibat awek Burn. Menaip sambil tergelak seorang diri. Bae pula bersama aweknya.

'Kan best kalau aku dapat awek macam ni. Malam-malam boleh ajak lepak sama-sama. Alangkah indahnya bila ada peneman. Aku ni masih mencari. Entah bila nak ketemu. Kalau ketemu pun bukan ada masa nak beromantik. Pastinya tanggungjawab yang akan mendahului. Masa untuk enjoy pastinya kan kurang. Apalah takdir tuhan untuk aku ni.' Madeq mengenang nasibnya yang malap tentang cinta.

Madeq bingkas ke komputer Megalab...

'Ah, ada 3 jam lagi baru siap download ni. Adoi, sempat ke ni.....'





Saturday, January 17, 2009

sEndirI...

Pagi Sabtu yang indah itu sepatutnya dia ditemani selimut tebal dan bantal empuk hingga tengahari. Sudah lama dia tidak tidur hingga matahari menegak. Kelas yang setiap hari bermula jam 8 menyebabkan dia rindu benar pada musim cuti. Namun sedari jam 7 lagi dia sudah pun bingkas melipat selimut. Janjinya pada Raymond untuk ke rumah Man harus di tepati.

Madeq tidak mahu dicopkan sebagai orang munafik. Salah satu sifat munafik-bila berjanji, tidak menepati. Walaupun Raymond bukan seorang muslim, tapi janji tetap janji. Madeq seupayanya untuk memenuhi setiap janji yang ditabur kepada kawan-kawannya. Namun dia manusia biasa, bukan semua dapat dia laksanakan. Janji terhadap diri sendiri pula, selalunya gagal untuk direalisasikan.

Kedatangan Raymond dan Madeq disambut baik oleh Man dan juga anak kecilnya, Jannah. Jannah tak lagi takut macam dulu. Dah mula biasa dengan Madeq. Begitu juga dengan Raymond. Sudah mahu bermain dan boleh di dukung-dukung oleh mereka. Hampir setiap minggu jika ada kesempatan, mereka akan menziarah Man dan Ain di Indah Permai. Ain tiada di rumah. Dia ada kelas. Tinggal Man, Jannah anaknya dan ayahnya yang sibuk menggoreng cucur di dapur.

Game antara New Orleons Hornets menentang Cleaveland Cavaliers di Astro Sport tidak menjadi tumpuan walaupun itu sebenarnya tujuan utama mereka ke sana. Melayan Jannah dan berbual kosong tentang pelbagai isu, itu yang selalu terjadi bila mereka ke sana. Jarang dapat berbual dengan Man sebab jarang juga Man turun ke gelanggang. Kalau turun pun bukannya dapat berbual sebab masa amat terhad. Dah turun ke gelanggang, pastinya masa akan dihabiskan dengan bermain.

Dalam usia semuda 23, Man telah pun dikurniakan cahaya mata. Madeq, tahun ini masuk 27. Masih sendirian. Single. Ada anak, jauh sekalilah. Dia kadang-kala cemburu melihat orang lain yang berpasangan. Berjalan berdampingan sambil tangan terpimpin erat. Kemana pun ada sentiasa bersama. Ada peneman. Kehidupan solo di universiti ini membuatkan dia malas untuk mengikut aktiviti yang dianjurkan. Apa gunanya kalau pergi seorang diri. Gembira seorang diri. Tiada makna.

Bukan dia tidak mencari. Ada, tapi kesilapan demi kesilapan yang dilakukan menjerut leher sendiri. Dia perlu lebih berhati-hati. Tidak mahu dia mengulangi kesilapan yang sama. Di sini, dia masih mengharapkan cinta seseorang. Walaupun dia tau memang mustahil untuk dia miliki tapi hingga kini dia masih menanti. Menanti agar keajaiban akan berlaku. Sampai bila dia akan menanti, dia sendiri tak pasti. Mungkin hingga si gadis di anugerahkan pasangan atau pun ada cinta yang menyapa dirinya.

Dan untuk Man, dia doakan agar rumahtangganya akan kekal sehingga hari kemusnahan dunia yang pasti akan datang seperti yang telah dijanjikan Tuhan.

Manusia ni, bila ada depan mata, susah sangat nak dihargai., susah sangat nak disayangi. Bila dah tiada, barulah nak meratapi kehilangan....

Tuesday, January 13, 2009

kElaM kAbuT...

"Kita makan dulu la, pastu sambung wat keje".
"Tak bole la. Aku kena balik. Part aku tak siap lagi ni".
"Ko tulis tangan ke guna words?"
"Tulis tangan sudah la. Senang sikit".
"Okey, aku pun sama la".

Kedua-duanya berpisah. Atan ke tempat parking motor, Madeq terus ke kafe. Perutnya tak dapat bertahan lagi. Malam tadi makan meggi, pagi tadi tak pula sarapan, kafe penuh. Tiada langsung meja yang kosong untuk dikongsi.

Nasibnya baik. Kafe masih lengang walaupun sudah masuk lunch hour. Dicampaknya beg di atas meja dan terus bergerak untuk mengambil makanan.

'Patut la tak ramai, lauknya pun kurang. Lambat la pulak dorang masak hari ni. Belasah je la lauk yang ada'.

Dikautnya kuah kari. Ayam dan hati yang tinggal seketul disambar. Kentang goreng saki dari pagi tadi juga di sapunya. Masa untuk berehat sebelum sambung tugasan Dr. Mannan.

Dari malam tadi lagi dia sibuk dengan kerja Dr. Mannan. Pagi tadi sebelum ke kuliah sempat lagi dia mengedit power point untuk presentation. Hard copy, tulis tangan aja. Senang cerita.

Kafe mula dibanjiri penuntut SKTM. Sahar dan Kerul di antara mereka. Meja Madeq yang masih kosong segera diisi mereka. Sesaat itu juga handset Madeq memekik.

'Sms dari Herul. Apahal lak ni'.

"Hard copy kena taip la, tak bole tulis tangan"

'Alamak, mampuih macam ni'.

Nasi dipinggan masih ada separuh lagi. Ditelannya cepat-cepat sebelum sempat mengunyah.

"Ko kat mana? Aku amik ko". Dibalasnya SMS Herul.
"Bus stop". Herul membalas pendek.
"Tunggu sana"

Sampai sahaja di bilik, Laptop dihidupkan. 'Ah, dah 12.30 dah ni. Sempat ke ni'.
Presentation jam 2 nanti menggusarkannya. Tangannya pantas menekan kekunci ABC di laptop. Cuba untuk mengatasi masa.

'1.45. Sempat lagi ni nak gi print'.

Disinggahnya di bilik Herul. Herul masih lagi tekun membuat bahagiannya. Satu tugasan, 3 soalan untuk satu kumpulan. Satu kumpulan 3 orang. Madeq, Atan dan Herul. Tiga-tiga pun kepala blur, macam mana.

Jam 2.15 petang. Dr. Mannan dah pun berada dalam kelas. Jantung Madeq dup dap dup dap... Kumpulannya kumpulan keempat untuk pembentangan kali ini. Di capainya hard copy kumpulan Adam. Nyata, jauh berbeza dari kumpulannya. Kumpulan Adam lengkap dengan gambar-gambarnya. Kumpulannya hanya ada sekeping gambar perincian besi rasuk. Itu pun hanya lukisan tangan. Atan dan Herul langsung tak sempat nak lukis.

'Mati la kalau present macam ni. Mau kena tembak gile babi dengan Dr. Mannan ni. Gerenti kosong markah'. Madeq nyata kecewa. Riak wajah Herul menampakkan dia agak tertekan.. Atan dah pucat lesi.

Kumpulan pertama baru sahaja menghabiskan pembentangan. Teruk jugak diorang ditembak oleh Dr. Mannan. Seterusnya kumpulan Leo. Madeq terus berdoa agar Leo dapat melengah-lengahkan masa.

Ahli terakhir dari kumpulan Leo sudah pun menamatkan pembentangan. Waktu baru menunjukkan jam 3.30. Ada 30 minit lagi baru kelas berakhir.

"Next group will present tomorrow".

Pengumuman dari Dr. Mannan itu melegakan Madeq. 'Sempat lagi nak edit bahan ni', fikir Madeq. Suasana menekan di dalam kelas tadi segera terlepas. Urat perut yang menegang tadi kembali kendur. Madeq ternyata lega. Kumpulannya diselamatkan waktu.

Apa pun, malam ini dia akan pastikan semua kerja terlaksana. Persiapan untuk pembentangan dipastikan akan berjalan lancar. Dia tidak mahu lagi kelam kabut macam hari ini. Yang pasti malam ini, bukan tugasan Dr .Mannan sahaja yang harus disiapkan. Tugasan Prof. Rao juga sedang menanti.

'Mati la aku malam ni'....

Monday, January 12, 2009

fLigHt....

Seperti yang dijanjikan, tepat 11.45 malam, dia telah pun terpacak di depan pintu masuk balai ketibaan Lapangan Terbang Terminal 2 Kota Kinabalu. Seorang demi seorang muka-muka asing baginya melepasi. Dia sabar menanti. Disandarkan badannya pada dinding sambil sekali sekala matanya melihat gelagat Herul yang asyik menatap skrin yang memaparkan ketibaan dan perlepasan pesawat.

"Assalamualaikum". Madeq menyapa sebaik nampak orang yang dinanti.
"Wa'laikummusalam. Awak sorang?"

Soalan itu hanya di jawab dengan menunjuk ke arah Herul yang sudah pun mula menghampiri. Sambil tangan kanannya menyambar beg kertas yang ada pada tangan kiri pemilik tubuh kecil molek ini.

Amelia tampak ceria. Tiada riak-riak keletihan pada wajahnya. Em, wajahnya kelihatan lebih putih dari dulu. Menampakkan jelas seketul jerawat merah menyala di pipi kanannya.

'Guna fair and lovely kot ke imaginasi aku je ni. Dah lama siot tak nampak minah ni'. Madeq bersendaloka sendiri.

Lebih dari sebulan tak berjumpa. Cuma sms menjadi penyambung suara. Itu pun hujung-hujung cuti baru bertanya khabar. Lain rasanya.

Dalam kereta, Amelia petah berbicara. Madeq rindu benar pada suara itu. Hujan yang turun mencurah kadang-kala menenggelamkan suara lunak itu. Kereta kancil yang disewa itu terpaksa dipandu perlahan.

"Thanks ya Madeq, Herul".
"Orait, take care and good night. Jumpa kat kelas esok". Madeq membalas pendek.

Pertemuan singkat itu berakhir.

Madeq dan Herul terus berpatah balik ke kampung AB untuk menghantar semula kereta.

Malam itu Madeq tak dapat melelapkan mata. Kalih ke kanan tak kena, kalih ke kiri canggung rasanya. Tangannya mencapai handfon.

'Jam 3 pagi sudah ni. Esok ada kelas plak jam 8. Adoi la. Nak gi kelas ke tak, nak gi ke tak, nak gi ke tak, nak gi....zzz...zzz...zzz. Dia sendiri tak pasti jam berapa dia terlelap.