Saturday, January 31, 2009

kEmbAli pAda yAnG sAtU....

Madeq berkalih. Mengiring ke kanan pula kali ini. Tak sampai beberapa saat kemudian berkalih lagi. Juga merasa tidak kena. Kanan kiri rasanya canggung. Dia tak dapat melelapkan mata. Mengantuk tapi gagal untuk tidur. Gagal untuk cuba melayari mimpi indah.

'Ah, mesti sebab lampu ni'.

Madeq bingkas. Segera menarik tirai tingkap untuk menghalang cahaya dari lampu jalan menembus masuk ke dalam bilik.

Badannya dihempas semula ke tilam. Mata dipejam rapat. Keadaan masih sama seperti tadi. Dia masih dapat mendengar bunyi putaran kipas yang diselang seli dengar dengkuran Kerul. Jarang benar Kerul berdengkur.

'Letih sangat agaknya'. Madeq meneka.

Dia tahu, bukan kerana cahaya lampu tadi dia tak dapat lelapkan mata. Dia tahu ada sebab lain. Otaknya berputar mengimbas kembali apa yang dia lakukan tadi. Apa yang dia katakan tadi.

Madeq sendiri tak sangka dia akan seberani itu. Meluahkan emosi yang tersarat di hati. Walaupun sesungguhnya dia memang masih belum bersedia tapi bila tajuk itu dibangkitkan, lebih baik diteruskan sahaja. Sedari dulu lagi dia memang takut untuk membicarakan soal ini. Namun, mungkin dia terpaksa hadapinya juga.

Segalanya bagai berlaku terlalu pantas dalam kelembapan dia menaip. Segala apa yang di kata, terjawab dengan senada. Madeq amat bersyukur disebalik jawapan itu.

'Alhamdulillah, mungkin belum tiba masanya tuhan membebankan aku dengan tanggungjawab itu.'

Allah tidak akan membebankan umatnya melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

Sering manusia bertanya, mengapa aku tak dapat apa yang aku idamkan. Jawapannya ada pada surah al-baqarah ayat 216.

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu meyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagi mu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui."

Mengingatkan itu, Madeq tenang. Kalaupun dia tak dapat memiliki hati, dia tetap memiliki perasaan. Perasaan sebagai seorang kawan. Matanya semakin layu. Dan akhirnya dia terlelap juga...




No comments:

Post a Comment