Saturday, January 31, 2009

kEmbAli pAda yAnG sAtU....

Madeq berkalih. Mengiring ke kanan pula kali ini. Tak sampai beberapa saat kemudian berkalih lagi. Juga merasa tidak kena. Kanan kiri rasanya canggung. Dia tak dapat melelapkan mata. Mengantuk tapi gagal untuk tidur. Gagal untuk cuba melayari mimpi indah.

'Ah, mesti sebab lampu ni'.

Madeq bingkas. Segera menarik tirai tingkap untuk menghalang cahaya dari lampu jalan menembus masuk ke dalam bilik.

Badannya dihempas semula ke tilam. Mata dipejam rapat. Keadaan masih sama seperti tadi. Dia masih dapat mendengar bunyi putaran kipas yang diselang seli dengar dengkuran Kerul. Jarang benar Kerul berdengkur.

'Letih sangat agaknya'. Madeq meneka.

Dia tahu, bukan kerana cahaya lampu tadi dia tak dapat lelapkan mata. Dia tahu ada sebab lain. Otaknya berputar mengimbas kembali apa yang dia lakukan tadi. Apa yang dia katakan tadi.

Madeq sendiri tak sangka dia akan seberani itu. Meluahkan emosi yang tersarat di hati. Walaupun sesungguhnya dia memang masih belum bersedia tapi bila tajuk itu dibangkitkan, lebih baik diteruskan sahaja. Sedari dulu lagi dia memang takut untuk membicarakan soal ini. Namun, mungkin dia terpaksa hadapinya juga.

Segalanya bagai berlaku terlalu pantas dalam kelembapan dia menaip. Segala apa yang di kata, terjawab dengan senada. Madeq amat bersyukur disebalik jawapan itu.

'Alhamdulillah, mungkin belum tiba masanya tuhan membebankan aku dengan tanggungjawab itu.'

Allah tidak akan membebankan umatnya melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

Sering manusia bertanya, mengapa aku tak dapat apa yang aku idamkan. Jawapannya ada pada surah al-baqarah ayat 216.

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu meyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagi mu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui."

Mengingatkan itu, Madeq tenang. Kalaupun dia tak dapat memiliki hati, dia tetap memiliki perasaan. Perasaan sebagai seorang kawan. Matanya semakin layu. Dan akhirnya dia terlelap juga...




Tuesday, January 27, 2009

aFter TwO yEArS...

Assalamualaikum. Itu yang pertama di lafazkan setelah dua pasang mata ini bertemu untuk pertama kalinya dalam masa lebih kurang 2 tahun.

Madeq masih ingat lagi ketika kali pertama matanya memandang Yana. Dari kerusi di barisan terakhir memandang Yana di barisan ke dua, di dalam kelas bahasa Mandarin.

'Cantik'. Hati Madeq berbisik.

Kali pertama menegur bila terserempak di dalam perpustakaan. Apa yang dia buat di sana dia pun tak ingat lagi. Yang pasti mulai detik itu, dia dan Yana semakin rapat. Sepatutnya dia ikut Yana ke barisan kedua tapi sebaliknya Yana yang ke barisan terakhir.

Madeq tiada kenalan dalam kelas itu. Begitu juga Yana. Dari tiada, masing-masing memiliki satu. Satu yang membawa ke kedai buku Pengguin dan satu yang di bawa bersama berbuka puasa.

Namun cerita indah itu terhenti selepas kelas Mandarin semester satu berakhir. Walaupun masih sekelas pada semester dua, perasaannya sama sekali tidak sama. Madeq masih sendiri apatah lagi di dalam kelas yang hanya ada dua orang lelaki sahaja. Yana, sebaliknya kali ini ditemani rakan baiknya, Amira. Kemesraan dulu serasa hilang di mamah waktu.

Tahun satu telah berakhir. Tahun dua pun bermula. Tiada lagi kelibat Yana di mana-mana. Kelas Mandarin pun tidak lagi sekali. Sekolah pemakanan pun dah ditukar ke bangunan sendiri. Tidak lagi menumpang sekolah kejuruteraan. Peluang untuk berselisih pun memang kosong peratus. Walaupun begitu, Madeq sekali pun tak pernah melupakan Yana. Setiap kali hari jadinya, Madeq takkan lupa untuk menelefon dan menghantar SMS. Tahun satu, dua dan juga tahun tiga.

Semester satu tahun empat sudah pun tamat. Masuknya semester terakhir.

'Eh, komen dari Yana!' Madeq seakan tak percaya namun bibir menguntum senyum. Agak lama Yana ada dalam senarai friendsternya tapi sekali pun dia tak pernah menghantar komen. Apa mimpi agaknya. Hubungan kembali terpaut.

Selang beberapa minggu selepas itu, Yana menutup akaun friendsternya.

'Ah, kenapa lak ni? Baru nak mesra balik.Hurm!' Madeq tak puas hati.

Dan tak lama lepas tu, Yana muncul lagi. Kali ni dalam facebook pula. Muncul dengan status yang berlainan dari dalam friendster.

'Kes break la ni'. Madeq sudah mengerti. Dari dalam facebook, dia dan yana kembali erat dan membawa ke YM.

'Kita tengok wayang esok?'
'Hah!'

Walaupun dijawabnya 'hah' di dalam YM tapi akhirnya Yana setuju juga untuk keluar bersama.

Tuk, tuk! Tingkap kereta di ketuk sambil daun pintunya dikuak luas.

"Assalamualaikum!"

Dan sepanjang siang hari Selasa itu, mereka habiskan masa bersama di 1 Borneo...dan disambung dengan YM di malam hari....!

Dah lama Madeq tak rasa keindahan seperti ini. Hatinya mengukir senyum...Namun sukar di tafsir apa yang sedang berlegar di otaknya...


Saturday, January 24, 2009

tHe rOOm...

'Arghh, tekanan'.

Bukan sebab tugasan yang banyak, bukan sebab subjek-subjek yang dia masih tak memahami apa-apa tapi sebab broadbandnya tidak lagi mampu menjalankan tugas di dalam bilik.

'Apa punya malang la'.

Dulu, pernah sekali jadi macam ni. Dia mintak pertolongan Ida. Sentuhan ajaib Ida mampu mengembalikan fungsinya di dalam bilik. Kali ini, Ida pun tak dapat membantu. Sudah dia minta Ida tolong tengok-tengokkan. Namun, keputusannya tetap sama. Tiada 'line 3G' yang dapat dikesan di dalam biliknya. Dulu ada, sekarang tiada. Kalau kejap ada, sekejap tiada masih tak mengapa. Ini terus tiada.

Blok B2, rumah 13, bilik 3. Mempunyai pemandangan yang sangat indah. Membelakangi tasik buatan yang dikelilingi hutan bukit yang menghijau. Bukit ini yang menjadi faktor utama kenapa susah sangat nak dapat talian di dalam biliknya. Bukan setakat talian 3G malah talian belefon biasa pun sama juga. Maxis, Digi, Celcom, namakanlah apa pun, semuanya sama. Selalu dia terpaksa berlari keluar untuk menjawab panggilan. Paling tidak pun terpaksa menjulurkan kepala keluar tingkap. Silap hari bulan boleh kena ludah orang atas.

Siang tadi dia di sekolahnya. Sedari jam 11.30 pagi hingga jam 2 petang. Terpaksa jadi seperti dulu. Bila hendak melayari web, kenalah rajinkan diri untuk ke bangunan sekolah. Di sana ada wi-fi. Walaupun taklah laju sangat tapi cukup kuat tanpa putus-putus. Nasib juga dia ada motorsikal. Motorsikal yang di beli dari Au Yong dengan harga RM 700 itu cukup banyak membantu dan nasib juga motor tua ini tidak banyak ragamnya. Setakat tukar tiub tayar dan kabel brek ajelah setakat ini. Enjin masih tip top. Alhamdulillah.

RM 100 setiap bulan untuk bayaran broadband membuatkan dia rasa terbeban. Bukan dia tak terfikir mengenai bayaran bil ini dulu tapi dia tak menyangka kan semalang ini. Satu, 'line 3G' di biliknya tiba-tiba tiada dan duanya, perkara yang menyakitkan kepala dan juga hatinya adalah dia tak dapat pinjaman dari PTPTN untuk semester akhir ini. Di mana silapnya dia pun tak tahu. Bukan dia seorang saja, Kerul, Qado dan Herul juga menerima nasib yang sama. Kononnya, dia akan membayar bil bulanan menggunakan duit PTPTN tapi sekarang dia buntu.

'Dah la aku mintak duit kat kak long ngan mama tiap-tiap bulan buat makan, ni nak bayar menatang ni pulak. Seratus lagi tu.' Madeq bingung.

Apa langkah seterusnya, dia tak pasti. Batalkan akaun? Tak boleh lagi sebab dia perlu guna sekurang-kurangnya selama 4 bulan. Sekarang baru masuk bulan ketiga dan masih belum berbayar. Lagi pun agak rugi juga kalau batalkan akaun.

'Dalam bilik aku je takde line, tempat lain okey je. Kat tepeng tak pasti la plak. Kalau nak guna bole je lepak bilik Kerul. Bilik dia line full.' Madeq membuat kiraan.

"Malam ni ko pegi pustakaan tak?"
"Entah, mungkin tidak. Kenapa?" Balas Api, kawan sebiliknya.

"Aku ingat kalau ko gi aku nak follow. Boleh ko ajar aku cara nak download anime. Aku selalu buat tak dapat pun. Kalau dapat pun ambil masa beratus jam baru siap download. Letih nak tunggu."

"Kalau nak pegi pun boleh jugak."

Cepat Api menukar keputusan. Madeq dah agak dah, mesti Api nak pergi punya. Walaupun baru kenal, dia faham sangat sifat penggila 'anime' ni.Selagi ada waktu dan peluang untuk memuat turun 'anime' dia pasti takkan lepaskan.

"Okey, nanti aku cari helmet". Balas Madeq sambil tersengih.

Di bahagian belakang Megalab di dalam perpustakaan kini Madeq tersadai. Tersandar di dinding. Ada sekitar tujuh orang yang memenuhi ruang belakang Megalab ini. Rata-rata muka yang di kenali. Teman serumahnya juga ada di sini bersama seorang kawan dari Kelantan. Burn budak medik pun ada. Selalu dia berdua tapi hari ini tidak nampak kelibat awek Burn. Menaip sambil tergelak seorang diri. Bae pula bersama aweknya.

'Kan best kalau aku dapat awek macam ni. Malam-malam boleh ajak lepak sama-sama. Alangkah indahnya bila ada peneman. Aku ni masih mencari. Entah bila nak ketemu. Kalau ketemu pun bukan ada masa nak beromantik. Pastinya tanggungjawab yang akan mendahului. Masa untuk enjoy pastinya kan kurang. Apalah takdir tuhan untuk aku ni.' Madeq mengenang nasibnya yang malap tentang cinta.

Madeq bingkas ke komputer Megalab...

'Ah, ada 3 jam lagi baru siap download ni. Adoi, sempat ke ni.....'





Saturday, January 17, 2009

sEndirI...

Pagi Sabtu yang indah itu sepatutnya dia ditemani selimut tebal dan bantal empuk hingga tengahari. Sudah lama dia tidak tidur hingga matahari menegak. Kelas yang setiap hari bermula jam 8 menyebabkan dia rindu benar pada musim cuti. Namun sedari jam 7 lagi dia sudah pun bingkas melipat selimut. Janjinya pada Raymond untuk ke rumah Man harus di tepati.

Madeq tidak mahu dicopkan sebagai orang munafik. Salah satu sifat munafik-bila berjanji, tidak menepati. Walaupun Raymond bukan seorang muslim, tapi janji tetap janji. Madeq seupayanya untuk memenuhi setiap janji yang ditabur kepada kawan-kawannya. Namun dia manusia biasa, bukan semua dapat dia laksanakan. Janji terhadap diri sendiri pula, selalunya gagal untuk direalisasikan.

Kedatangan Raymond dan Madeq disambut baik oleh Man dan juga anak kecilnya, Jannah. Jannah tak lagi takut macam dulu. Dah mula biasa dengan Madeq. Begitu juga dengan Raymond. Sudah mahu bermain dan boleh di dukung-dukung oleh mereka. Hampir setiap minggu jika ada kesempatan, mereka akan menziarah Man dan Ain di Indah Permai. Ain tiada di rumah. Dia ada kelas. Tinggal Man, Jannah anaknya dan ayahnya yang sibuk menggoreng cucur di dapur.

Game antara New Orleons Hornets menentang Cleaveland Cavaliers di Astro Sport tidak menjadi tumpuan walaupun itu sebenarnya tujuan utama mereka ke sana. Melayan Jannah dan berbual kosong tentang pelbagai isu, itu yang selalu terjadi bila mereka ke sana. Jarang dapat berbual dengan Man sebab jarang juga Man turun ke gelanggang. Kalau turun pun bukannya dapat berbual sebab masa amat terhad. Dah turun ke gelanggang, pastinya masa akan dihabiskan dengan bermain.

Dalam usia semuda 23, Man telah pun dikurniakan cahaya mata. Madeq, tahun ini masuk 27. Masih sendirian. Single. Ada anak, jauh sekalilah. Dia kadang-kala cemburu melihat orang lain yang berpasangan. Berjalan berdampingan sambil tangan terpimpin erat. Kemana pun ada sentiasa bersama. Ada peneman. Kehidupan solo di universiti ini membuatkan dia malas untuk mengikut aktiviti yang dianjurkan. Apa gunanya kalau pergi seorang diri. Gembira seorang diri. Tiada makna.

Bukan dia tidak mencari. Ada, tapi kesilapan demi kesilapan yang dilakukan menjerut leher sendiri. Dia perlu lebih berhati-hati. Tidak mahu dia mengulangi kesilapan yang sama. Di sini, dia masih mengharapkan cinta seseorang. Walaupun dia tau memang mustahil untuk dia miliki tapi hingga kini dia masih menanti. Menanti agar keajaiban akan berlaku. Sampai bila dia akan menanti, dia sendiri tak pasti. Mungkin hingga si gadis di anugerahkan pasangan atau pun ada cinta yang menyapa dirinya.

Dan untuk Man, dia doakan agar rumahtangganya akan kekal sehingga hari kemusnahan dunia yang pasti akan datang seperti yang telah dijanjikan Tuhan.

Manusia ni, bila ada depan mata, susah sangat nak dihargai., susah sangat nak disayangi. Bila dah tiada, barulah nak meratapi kehilangan....

Tuesday, January 13, 2009

kElaM kAbuT...

"Kita makan dulu la, pastu sambung wat keje".
"Tak bole la. Aku kena balik. Part aku tak siap lagi ni".
"Ko tulis tangan ke guna words?"
"Tulis tangan sudah la. Senang sikit".
"Okey, aku pun sama la".

Kedua-duanya berpisah. Atan ke tempat parking motor, Madeq terus ke kafe. Perutnya tak dapat bertahan lagi. Malam tadi makan meggi, pagi tadi tak pula sarapan, kafe penuh. Tiada langsung meja yang kosong untuk dikongsi.

Nasibnya baik. Kafe masih lengang walaupun sudah masuk lunch hour. Dicampaknya beg di atas meja dan terus bergerak untuk mengambil makanan.

'Patut la tak ramai, lauknya pun kurang. Lambat la pulak dorang masak hari ni. Belasah je la lauk yang ada'.

Dikautnya kuah kari. Ayam dan hati yang tinggal seketul disambar. Kentang goreng saki dari pagi tadi juga di sapunya. Masa untuk berehat sebelum sambung tugasan Dr. Mannan.

Dari malam tadi lagi dia sibuk dengan kerja Dr. Mannan. Pagi tadi sebelum ke kuliah sempat lagi dia mengedit power point untuk presentation. Hard copy, tulis tangan aja. Senang cerita.

Kafe mula dibanjiri penuntut SKTM. Sahar dan Kerul di antara mereka. Meja Madeq yang masih kosong segera diisi mereka. Sesaat itu juga handset Madeq memekik.

'Sms dari Herul. Apahal lak ni'.

"Hard copy kena taip la, tak bole tulis tangan"

'Alamak, mampuih macam ni'.

Nasi dipinggan masih ada separuh lagi. Ditelannya cepat-cepat sebelum sempat mengunyah.

"Ko kat mana? Aku amik ko". Dibalasnya SMS Herul.
"Bus stop". Herul membalas pendek.
"Tunggu sana"

Sampai sahaja di bilik, Laptop dihidupkan. 'Ah, dah 12.30 dah ni. Sempat ke ni'.
Presentation jam 2 nanti menggusarkannya. Tangannya pantas menekan kekunci ABC di laptop. Cuba untuk mengatasi masa.

'1.45. Sempat lagi ni nak gi print'.

Disinggahnya di bilik Herul. Herul masih lagi tekun membuat bahagiannya. Satu tugasan, 3 soalan untuk satu kumpulan. Satu kumpulan 3 orang. Madeq, Atan dan Herul. Tiga-tiga pun kepala blur, macam mana.

Jam 2.15 petang. Dr. Mannan dah pun berada dalam kelas. Jantung Madeq dup dap dup dap... Kumpulannya kumpulan keempat untuk pembentangan kali ini. Di capainya hard copy kumpulan Adam. Nyata, jauh berbeza dari kumpulannya. Kumpulan Adam lengkap dengan gambar-gambarnya. Kumpulannya hanya ada sekeping gambar perincian besi rasuk. Itu pun hanya lukisan tangan. Atan dan Herul langsung tak sempat nak lukis.

'Mati la kalau present macam ni. Mau kena tembak gile babi dengan Dr. Mannan ni. Gerenti kosong markah'. Madeq nyata kecewa. Riak wajah Herul menampakkan dia agak tertekan.. Atan dah pucat lesi.

Kumpulan pertama baru sahaja menghabiskan pembentangan. Teruk jugak diorang ditembak oleh Dr. Mannan. Seterusnya kumpulan Leo. Madeq terus berdoa agar Leo dapat melengah-lengahkan masa.

Ahli terakhir dari kumpulan Leo sudah pun menamatkan pembentangan. Waktu baru menunjukkan jam 3.30. Ada 30 minit lagi baru kelas berakhir.

"Next group will present tomorrow".

Pengumuman dari Dr. Mannan itu melegakan Madeq. 'Sempat lagi nak edit bahan ni', fikir Madeq. Suasana menekan di dalam kelas tadi segera terlepas. Urat perut yang menegang tadi kembali kendur. Madeq ternyata lega. Kumpulannya diselamatkan waktu.

Apa pun, malam ini dia akan pastikan semua kerja terlaksana. Persiapan untuk pembentangan dipastikan akan berjalan lancar. Dia tidak mahu lagi kelam kabut macam hari ini. Yang pasti malam ini, bukan tugasan Dr .Mannan sahaja yang harus disiapkan. Tugasan Prof. Rao juga sedang menanti.

'Mati la aku malam ni'....

Monday, January 12, 2009

fLigHt....

Seperti yang dijanjikan, tepat 11.45 malam, dia telah pun terpacak di depan pintu masuk balai ketibaan Lapangan Terbang Terminal 2 Kota Kinabalu. Seorang demi seorang muka-muka asing baginya melepasi. Dia sabar menanti. Disandarkan badannya pada dinding sambil sekali sekala matanya melihat gelagat Herul yang asyik menatap skrin yang memaparkan ketibaan dan perlepasan pesawat.

"Assalamualaikum". Madeq menyapa sebaik nampak orang yang dinanti.
"Wa'laikummusalam. Awak sorang?"

Soalan itu hanya di jawab dengan menunjuk ke arah Herul yang sudah pun mula menghampiri. Sambil tangan kanannya menyambar beg kertas yang ada pada tangan kiri pemilik tubuh kecil molek ini.

Amelia tampak ceria. Tiada riak-riak keletihan pada wajahnya. Em, wajahnya kelihatan lebih putih dari dulu. Menampakkan jelas seketul jerawat merah menyala di pipi kanannya.

'Guna fair and lovely kot ke imaginasi aku je ni. Dah lama siot tak nampak minah ni'. Madeq bersendaloka sendiri.

Lebih dari sebulan tak berjumpa. Cuma sms menjadi penyambung suara. Itu pun hujung-hujung cuti baru bertanya khabar. Lain rasanya.

Dalam kereta, Amelia petah berbicara. Madeq rindu benar pada suara itu. Hujan yang turun mencurah kadang-kala menenggelamkan suara lunak itu. Kereta kancil yang disewa itu terpaksa dipandu perlahan.

"Thanks ya Madeq, Herul".
"Orait, take care and good night. Jumpa kat kelas esok". Madeq membalas pendek.

Pertemuan singkat itu berakhir.

Madeq dan Herul terus berpatah balik ke kampung AB untuk menghantar semula kereta.

Malam itu Madeq tak dapat melelapkan mata. Kalih ke kanan tak kena, kalih ke kiri canggung rasanya. Tangannya mencapai handfon.

'Jam 3 pagi sudah ni. Esok ada kelas plak jam 8. Adoi la. Nak gi kelas ke tak, nak gi ke tak, nak gi ke tak, nak gi....zzz...zzz...zzz. Dia sendiri tak pasti jam berapa dia terlelap.