Saturday, January 17, 2009

sEndirI...

Pagi Sabtu yang indah itu sepatutnya dia ditemani selimut tebal dan bantal empuk hingga tengahari. Sudah lama dia tidak tidur hingga matahari menegak. Kelas yang setiap hari bermula jam 8 menyebabkan dia rindu benar pada musim cuti. Namun sedari jam 7 lagi dia sudah pun bingkas melipat selimut. Janjinya pada Raymond untuk ke rumah Man harus di tepati.

Madeq tidak mahu dicopkan sebagai orang munafik. Salah satu sifat munafik-bila berjanji, tidak menepati. Walaupun Raymond bukan seorang muslim, tapi janji tetap janji. Madeq seupayanya untuk memenuhi setiap janji yang ditabur kepada kawan-kawannya. Namun dia manusia biasa, bukan semua dapat dia laksanakan. Janji terhadap diri sendiri pula, selalunya gagal untuk direalisasikan.

Kedatangan Raymond dan Madeq disambut baik oleh Man dan juga anak kecilnya, Jannah. Jannah tak lagi takut macam dulu. Dah mula biasa dengan Madeq. Begitu juga dengan Raymond. Sudah mahu bermain dan boleh di dukung-dukung oleh mereka. Hampir setiap minggu jika ada kesempatan, mereka akan menziarah Man dan Ain di Indah Permai. Ain tiada di rumah. Dia ada kelas. Tinggal Man, Jannah anaknya dan ayahnya yang sibuk menggoreng cucur di dapur.

Game antara New Orleons Hornets menentang Cleaveland Cavaliers di Astro Sport tidak menjadi tumpuan walaupun itu sebenarnya tujuan utama mereka ke sana. Melayan Jannah dan berbual kosong tentang pelbagai isu, itu yang selalu terjadi bila mereka ke sana. Jarang dapat berbual dengan Man sebab jarang juga Man turun ke gelanggang. Kalau turun pun bukannya dapat berbual sebab masa amat terhad. Dah turun ke gelanggang, pastinya masa akan dihabiskan dengan bermain.

Dalam usia semuda 23, Man telah pun dikurniakan cahaya mata. Madeq, tahun ini masuk 27. Masih sendirian. Single. Ada anak, jauh sekalilah. Dia kadang-kala cemburu melihat orang lain yang berpasangan. Berjalan berdampingan sambil tangan terpimpin erat. Kemana pun ada sentiasa bersama. Ada peneman. Kehidupan solo di universiti ini membuatkan dia malas untuk mengikut aktiviti yang dianjurkan. Apa gunanya kalau pergi seorang diri. Gembira seorang diri. Tiada makna.

Bukan dia tidak mencari. Ada, tapi kesilapan demi kesilapan yang dilakukan menjerut leher sendiri. Dia perlu lebih berhati-hati. Tidak mahu dia mengulangi kesilapan yang sama. Di sini, dia masih mengharapkan cinta seseorang. Walaupun dia tau memang mustahil untuk dia miliki tapi hingga kini dia masih menanti. Menanti agar keajaiban akan berlaku. Sampai bila dia akan menanti, dia sendiri tak pasti. Mungkin hingga si gadis di anugerahkan pasangan atau pun ada cinta yang menyapa dirinya.

Dan untuk Man, dia doakan agar rumahtangganya akan kekal sehingga hari kemusnahan dunia yang pasti akan datang seperti yang telah dijanjikan Tuhan.

Manusia ni, bila ada depan mata, susah sangat nak dihargai., susah sangat nak disayangi. Bila dah tiada, barulah nak meratapi kehilangan....

No comments:

Post a Comment