Friday, April 10, 2009

tIpu...

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud; siapa yang menipu bukanlah dari kalangan umatku...

Begitu kerasnya amaran dari Rasulullah.

Baru-baru ini, Madeq ditipu. Bukanlah boleh dikata ditipu kerana dia telah pun tahu jawapannya. Sengaja ditanya lagi untuk mengetahui jawapan apa yang akan dijawab. Jawapan yang sebagai mana yang akan dinyatakan temannya itu.

Ternyata temannya ini berdusta. Mencipta rangkaian imaginasi untuk menutup kebenarannya. Mengolah karya helah mengakali rakan sendiri.

Madeq tidak marah tapi dia kecewa. Kenapa perlu berdusta? Payah sangatkah untuk menyatakan kebenaran? Apa dengan mengatakan sesuatu yang benar itu memalukan diri sendiri?

Akhirnya dia mengaku. Mengaku yang dia telah menidakkan kebenaran, membohongi segala apa yang benar. Namun tidak secara berdepan. Hanya melalui SMS. Mungkin tak sanggup lagi menipu dan akhirnya terpaksa mengaku jujur juga.

Manakan tidak. Satu penipuan pasti akan ditutup dengan penipuan yang lain. Dan penipuan itu pula disangkali dengan dusta yang lain pula. Begitulah seterusnya. Hinggalah lubang dusta itu pecah sendiri. Akhirnya siapa yang akan malu.

Tak kisahlah jikalau orang lain yang menipunya. Orang luar yang tidak dikenalinya. Orang yang tidak pernah ditaruhkan kepercayaan. Dia tidak pernah berharap ada dikalangan rakan-rakannya sendiri yang menipunya. Alangkah sakitnya hati dia rasakan. Berbekas hingga ke tulang hitamnya.

Dia telah pun meminta maaf. Dan Madeq telah pun memaafkannya. Ikhlas memaafkannya, atas nama persahabatan yang sekian lama telah terjalin. Sedangkan Nabi ampunkan ummat, inikan dia yang kerdil dimata Ilahi. Dia tahu temannya itu insan biasa. Tidak lari dari kesilapan. Tidak lari dari kekhilafan. Ummat Muhammad mana yang tidak melakukan kesalahan. Jawapannya tiada.

'Kali ni dia tipu aku. Dulu pernah ke dia tipu aku? Akan datang mungkinkah dia akan tipu aku lagi?'

Persoalan-persoalan begini selalu timbul dibenaknya. Namun Madeq takkan mengungkit. Dia harap tiada lagi pendustaan selepas ini. Sahabat, rakan, kawan, teman, peng you, friend, nakama dan seerti dengannya tidaklah sepatutnya didustai. Ibu bapa lagilah. Kalau nak rasa kehidupan dineraka, cubalah menipu mereka. Rakan-rakan sepatutnya dihargai dan dihormati.

Sekurang-kurangnya itu yang Madeq rasa, itu yang Madeq mahu, itu yang Madeq harapkan daripada rakan-rakannya.

No comments:

Post a Comment