Sunday, May 31, 2009

mEngaNgGur...kErJa...

Hampir 3 minggu dia pulang bercuti ke kampung halaman. Bercuti? Ya, masih bercuti. Sedangkan hampir semua rakan-rakan yang lain sudah pun mula mencari kerja. Menyelak helaian akhbar dan menekan tetikus. Ada juga yang sudah pun menerima tawaran kerja. Yu Li, Clare, Sahar adalah diantara mereka.

Yu Li nampaknya seperti akan terus bermastautin di Kota Kinabalu. Dia mendapat tawaran kerja di Lintas. Tiada tanda-tanda mahu memulakan kerjaya di Selangor tempat kelahirannya. Mungkin ada sesuatu yang menyebabkan dia berminat untuk terus tinggal di sana.

Sahar terus b
erkerja dengan syarikat pak ciknya, tempat Madeq melakukan latihan industri. Berat juga bagi Sahar untuk menolak tawaran kerja ini. Diluah mati emak ditelan mati bapa. Namun janji tetap janji. Dari pemerhatian Madeq semasa melakukan latihan industri di sana, anak-anak Tuan Haji nampaknya kurang berminat dalam meneruskan perniagaan ini. Kurang minat untuk mewarisi empayar ciptaan bapa mereka. Mungkin kerana ini, Tuan Haji berharap benar pada Sahar. Berharap Sahar akan meneruskan perniagaan ini dan mengembangkannya. Susah juga kalau dibuat dalam keadaan terpaksa tapi Madeq yakin benar Sahar mampu melakukannya.

Clare pula dengarnya menerima tawaran bukan di Kota Kinabalu tapi di kawasan agak pedalaman. Tidak pasti dia menerimanya atau tidak. Itu pun Adam yang beritahu semasa ber YM dengannya 2-3 hari yang lepas. Adam pula masih mencari dan menunggu untuk dilamar dan ditemuduga.

Rakan-rakan yang lain agak sepi. Senyap tanpa sebarang berita. Mungkin masih mencari lagi. Madeq tidak mahu bertanya. Takut kalau-kalau menjadi satu tekanan pada mereka kalau masih tidak bekerja. Asyik ditanya sudah kerja ke belum pasti akan mendatangkan tekanan pada mereka yang masih menganggur.

Dia sendiri pernah merasakan tekanan seperti itu. Hampir 3 bulan tidak bekerja selepas ditamatkan kontrak dahulu. Separuh gila dibuatnya. Rambut habis berguguran walaupun tidak melahap mee segera sepanjang masa itu. Duduk dihadapan televisyen sambil mengunyah keropok menantikan surat tawaran tiba, setiap hari memang meyeksakan.


Nak dapat kerja kadang-kala memang susah tapi kalau senang dimanakah manisnya pula. Jangan memilih. Sapu saja mana kerja yang datang dulu. Bila dah dapat kerja, buat sehabis baik. Jangan tahu nak mengeluh dan komplen sahaja. Susah ke senang ke redah sahaja. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Cakap memang senang, nak dibuat satu hal yang lain pula...

Sunday, May 17, 2009

sEpI......bAhaGIa

Beberapa ceritera berdarah pada masa lampau hampir menenggelamkan dia dalam kesunyian ditengah bingit kekalutan ribuan manusia. Kisah-kisah yang dia tidak mahu ingati selalu sahaja bermain di ruang minda, selalu terbayang di birai mata. Bila ditambah dengan suasana yang sunyi hening, mutiara jernih selalu akan menitis.

Namun episod sedih dan pilu itu semuanya sudah berakhir.

5 haribulan 5, tahun 2009 bersamaan dengan hari Selasa mengikut kalendar barat. Pada tanggal ini, dengan secara rasminya dengan bersaksikan kegelapan dan pukulan ombak di pantai Teluk Likas, dia mengakhiri zaman sepinya.

Sepi, gelap dan air mata hanyut dengan terlafaznya kata 'iya' dari mulut seorang gadis. Tanda setuju dan menerima Madeq sebagai kekasih kini dan suami akan datang. Walaupun secara tidak rasminya, mereka boleh dikatakan sudah berpacaran namun bagi Madeq kata-kata lisan dan pertentangan empat mata semasa melamar adalah amat penting.

Dia mahu dengar sendiri. Dia perlu dengar sendiri dari mulut gadis ini.

Dengan tangan dipegang erat, Madeq pun melafazkan kata janji untuk menjadikan gadis ini sebagai kekasih. Setelah 27 tahun bernafas di dunia fana ini, akhirnya ada juga gadis yang sanggup menerima dia sebagai teman hidup.

Inilah hadiah yang dinanti selama 27 tahun.

'Terima kasih Sayang kerana sudi mewarnai hidup yang sebelum ini hanya hitam putih.'

'Episod sedih, nyah ko dari hidupku. Kesudahan bahagia, nantilah aku dipenghujung ceritera ini.'





Monday, May 11, 2009

kERja ???nOt yEt LAh...

Minggu peperiksaan sudah pun berakhir. Viva juga sudah berakhir bagi pelajar-pelajar kejuruteraan awam tahun akhir. Sekarang ini rata-rata sedang membuat pembetulan terakhir sebelum di buat kulit keras.

Madeq sebetulnya seawal lagi sudah boleh pulang ke kampung halaman. Dia tiada viva. Tiada Final Year Project. Dia extend. Rakan-rakan sekelasnya sekarang ada yang sudah pun menerima tawaran kerja, ada juga yang sedang pening untuk menerima tawaran yang mana. Sungguh semangat sekali untuk memulakan kerjaya. Tidak sabar-sabar sekali untuk memegang wang sendiri. Bagus. Bermotivasi.

Bagi Madeq yang extend, semua itu tidak penting. Sekurang-kurangnya masih belum penting lagi. Namun dia tahu, dia tidak akan berasa begitu teruja untuk bekerja walaupun sudah tamat masa extendnya nanti. Dia sudah biasa bekerja. 2 tahun bekerja dalam bidang pembinaan. Baginya kerja adalah sesuatu yang membosankan. Tidak dapat enjoy seperti ketika menjadi pelajar.

Kerja adalah tidak lain menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Sama ada suka atau tidak, tahu atau tidak amanah itu harus dilaksanakan. Dilaksanakan dengan baik bukan dengan secara cincai. Buat cincai, tak sampai 3 bulan pasti dah kena tendang. Ini tak termasuk kerja kerajaanlah. Buat kerja cincai pun gaji tetap masuk juga bila hujung bulan. Tapi gaji itu dikira halal atau tidak, sendiri fikirlah.

Amanah kerja bukan semata-mata kerana tugas yang diberi oleh majikan. Amanah itu secara tidak langsung datangnya dari Yang Maha Esa. Melaksanakan dan menjaga amanah itu menjadi wajib kerana ianya datang dari Pencipta Alam ini.

Dia masih ada satu semester lagi untuk ditamatkan. Kemudian dia akan kembali dalam alam pekerjaan. Kali ini dia akan bekerja bukan seperti dahulu hanya untuk dirinya. Kali ini adalah untuk dirinya, keluarganya dan orang lama tapi baru muncul dalam jiwanya...