Sunday, March 1, 2009

oPeNInG cEreMOnY...


Hujung minggu lepas, buat julung-julung kalinya, UMS mengadakan perbarisan atlet untuk majlis pembukaan Liga Sukan. Kali ini, liga sukan agak berbeza. Tiada lagi pertandingan antara kolej-kolej kediaman. Liga sukan kali ini adalah pertandingan antara sekolah-sekolah. 'Interschool'. Itu yang digelar oleh para atlet yang terlibat. Memudahkan dan tidak keliru dengan tema liga sukan versi lama yang melibatkan kolej kediaman.

Tiga tahun di UMS, dia menjadi wakil bagi kolej kediaman E. Banyak kenangan pahit dan manis diterokai bersama pasukan ini. Dari pertandingan antara kolej kediaman, pertandingan piala merdeka di Tuaran dan yang paling jauh pertandingan Terbuka Labuan. Setiap tahun dia dan pasukannya pergi ke Labuan menyertai terbuka Labuan itu. Dan setiap kali itulah juga hanya tempat ketiga yang berjaya di raih. Namun dia puas. Rakan-rakannya itu semua menunjukkan semangat yang tinggi. Komitmen. Bukan kemenangan yang dia ingin perolehi tapi rakan sejati yang terbentuk dari semangat berpasukan ini.

Pada tahun keempatnya pula, dia bermain untuk King Fisher. Bukan tidak sudi bermain untuk kolej E tapi ada masalah dalaman yang menyebabkan dia tawar hati. Dia, Raymond dan Along sama-sama menarik diri dan menyertai King Fisher. Lagipun rata-rata pemain pasukan King Fisher adalah pemain UMS sendiri. Rakan yang sama-sama berjuang sewaktu MASUM dahulu. Kenal dan lebih mesra. Tidak seperti pemain di kolej kediaman E yang rata-rata pemain tahun satu dan dua. Pemain yang tahu bermain bola keranjang tapi tidak tahu apa itu semangat kesukanan. Dia memang tidak boleh menerima orang sebegini.

Kali ini berlainan kisahnya. Dia menjadi wakil bagi Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat (SKTM). Selain menjadi pemain, dia juga adalah ketua pasukan dan juga pengurus bagi bola keranjang. Bukannya gila kuasa tapi lebih senang bila pemain sendiri menjadi pengurus. Kalau biarkan orang yang tidak bermain bola keranjang, alamat hancurlah. Dia masih sama pasukan dengan Along. Along adalah juniornya. Malangnya tidak Raymond. Raymond mewakili Sekolah Sains dan Teknologi (SST). Pertembungan SKTM dengan SST memang dinanti-nantikan. Kedua-dua pasukan ini dari awal lagi telah dijangka akan bertemu di pertandingan akhir nanti. Namun begitu pasukan lain juga pasti akan memberi cabaran.

Sembilan pemain dari pasukan bola keranjang hadir bagi upacara pembukaan itu. Dua tidak berminat manakala satu lagi ada hal yang tak dapat dielakkan. Tidak mengapa. Asalkan ada yang memberi sokongan terhadap dia sebagai pengurus, itu sudah mencukupi.

Majlis pembukaan yang diadakan kali ini agak hebat juga. Kalau tidak silap, Menteri Pengajian Tinggi Sabah ada juga datang memberikan ucapan. Tari-menari untuk menghiburkan penonton juga ada disajikan. Yang paling mengejutkan adalah tembakan roket untuk menyalakan obor.

'Canggih dan kreatif'. Puji Madeq dalam hati.

Upacara yang diadakan ini benar-benar membuatkan dia berasa sekurang-kurangnya pihak Unit Sukan ada inisiatif untuk menghargai para atlet. Atlet yang selama ini rasa terabai, dianak tirikan kerana hanya yang berjaya sahaja selama ini dihargai dan diberi insentif. Walaupun tidak sehebat upacara pembukaan untuk MASUM dulu tapi ini sudah memadai. Dengan lafaz ikrar yang dibaca oleh Linus dan diikut oleh para atlet membuatkan semangat atlet untuk bertanding semakin tinggi. Dia juga rasa begitu. Tidak sabar untuk memulakan perlawanan pertama.

Sokongan dari warga UMS juga memberansangkan. Ramai yang datang untuk menyaksikan upacara pembukaan itu. Duganya yang upacara ini pasti membosankan nyata sama sekali meleset. Sambutan yang diberi memang menggalakkan. Caroline dan Asmah, rakan sekelasnya juga datang memeriahkan suasana walaupun mereka tidak bersukan.

"Madeq, nampak kami ka diatas ni?". Caroline menelefon.

Segera Madeq menyisipkan kaca matanya.

"Mana?"

"Sini atas ni. Asmah pakai tudung putih, saya pakai baju merah". Balas Caroline.

"Oh! Nampak sudah". Segera Madeq melambaikan tangan, membalas lambaian Caroline, gadis Dusun itu.

Lebih melesetkan lagi duganya pada malam pembukaan ini adalah dengan adanya kehadiran Amelia dikalangan atlet untuk SKTM. Dia benar-benar terkejut dan tidak menyangka akan adanya Amelia di dalam barisan atlet. Keindahan malam itu dirasakan lebih bersinar. Entahlah kenapa. Dia sendiri pun tidak mengerti. Amelia bukanlah atlet. Dulu, waktu sekolah menengah mungkinlah.

Madeq memanjangkan leher untuk melihat atlet perempuan yang lain.

'Padanlah, ada budak-budak Chemical rupanya'. Bisik hati Madeq apabila melihat adanya kelibat Maryam dan Stephanie. Dua orang pemain bola jaring dari Chemical Engineering. Mereka antara teman baik Amelia.

Mahu saja dia menegur dan menyapa Amelia tapi hatinya berkata biarkan saja. Dia tidak berapa masuk dengan budak-budak Chemical itu. Kenal tapi seakan-akan ada penghalang antara hubungan ini. Bukan benci tapi ada hal yang berlaku dulu menyebabkan dia susah untuk bergaul dengan budak-budak Chemical ini. Dia juga tidak mahu Amelia serba salah nanti.

'Nanti-nanti dalam kelas pun aku boleh sembang dengan dia'. Pujuk hati Madeq. Biarkan dia menghayati malam ini.

Seakan-akan dapat membaca fikiran Madeq, Ah Tiew segera mencadangkan supaya mereka mengabadikan kenangan ini bersama. Satu klik gambar pun diambil. Madeq, Amelia, Ren Yih dan Ah Tiew. Nasib juga dia ada membawa kamera bersama. Tidak rugi dia menanggung beban kameranya itu.

'Apa pun, thanks ya Ah Tiew'...

No comments:

Post a Comment