Wednesday, May 19, 2010

rEstArt?

Dah hampir setahun dia tak menulis. Kenapa? Banyak alasannya. Tapi semua itu tidak mahu dijadikan sebab. Manusia kalau banyak alasan, tak akan kemana. Tapi kalau tiada alasan, tiada sebab pula untuk dia lama meninggalkan alam penulisan. Alam yang memang dia minati sedari dulu lagi. Walaupun sebenarnya dia tidaklah pandai menulis. Dari kecil hingga dewasa tidak pernah tidak dia melintasi kedai buku tanpa menyinggahkan kaki ke dalamnya. Membaca secara percuma atau sekurangnya membeli sebuah buku sudah menjadi kewajipan. Paling tidak pun, membaca sinopsis cerita.

Bulan 2 2010 dia dah pun memulakan tugas sebagai jurutera tapak di salah sebuah kompeni kontraktor di KL. Projek pulak nun jauh di tengah-tengah felda di Jempol. Salah sebuah daerah di N9. Untuk mencari rezeki, dia redahi juga bandar, pekan, kampung, dusun dan hutan untuk sampai ke destinasi projek. Alhamdulillah, akhirnya diberikan kesempatan untuk menabur bakti pada masyarakat setelah hampir 3 bulan menyusahkan ibunya di rumah.


Exit highway Senawang. Sebelum sampai pusat bandar belok kanan untuk ke Kuala Pilah. Dalam 45 minit sampai la Pekan Kuala Pilah. Perjalanan diteruskan hingga ke Pekan Batu Kikir. Sebelum sampai Pekan Batu Kikir adalah melalui beberapa pekan kecil lain. Juasseh la, apa la. Semua nama-nama pekan ini tidak penting bagi Madeq. Yang penting tidak sesat dan selamat sampai. Walaupun N9 cuma ada 9 daerah tapi fuhh!. Memang luas jugak negeri ni. Keras jugak punggung memandu hampir 8 jam dari Taiping ke Bandar Baru Jempol ni. Naik kancil pulak tu. Perghh!. Nasib dah biasa drive jejauh ni.

Sekarang hampir 4 bulan dia memegang jawatan jurutera tapak. Menjadi orang kedua paling berkuasa di tapak bina. Aiseh! Kesibukan kerja sepanjang hari menyebabkan tahap kepenatan amat tinggi di malamnya. Lagi pun waktu malam lazimnya selalu dihabiskan dengan berdating dengan kekasihnya melalui Skype dan juga YM. Cinta jarak jauh. Kadang kala indah, kadang kala resah dihimpit rindu. Nak menulis semula, masa memang terhad. Jangan kata menulis, membaca pun tiada kesempatan. Dia betul-betul rindukan dunia penulisan. Dia mahu mulakan semula. Dia mahu membaca semula. Dia mahu menulis semula. Dia mahukan permulaan yang baru... Mungkin malam ini, malam permulaan bila matanya tiba-tiba menjadi segar...


Saturday, June 13, 2009

pErKahWinaN rAhIm...

Seawal jam 6:45 pagi dia telah pun terpacak di perhentian bas Taiping. Menunggu bas ke Kuala Kangsar, bandar diraja. Kelibat manusia masih belum ramai. Hanya ada peniaga-peniaga yang baru membuka kedai, pejual tiket dan pemandu-pemandu bas. Ada juga sepasang remaja sedang bermadu kasih di dalam perhentian itu.

'Pagi-pagi dah dating ke? Apara'.

'Aku g taiping'.


Begitu bunyinya sms pendek dari Speki setelah Madeq memberitahu bas jam 7 masih belum bergerak walaupun sudah lewat 15 minit dari jadual asal. 20 minit kemudian, Speki pun muncul di perhentian bas.

Kereta Wira itu meluncur laju menuju Bidor, mengikut jalan lama. Jimat tol katanya Speki. Persinggahan untuk mengambil Am sebelum terus ke destinasi, Sungai Buloh. Am yang dahulunya memang berbadan besar, semakin berisi. Gaya-gaya bapa orang pun ada. Hampir 6 tahun tak bertemu dengan Am namun sedikit pun tidak merasa canggung. Am masih seperti dulu, tidak banyak bercakap tapi tahu bila hendak menyelit.

Keesokan hari selepas kenduri Zam, dia ke Sungai Buloh, Selangor pula bersama Speki dan Am. Kali ini untuk meraikan dan memeriahkan majlis persandingan seorang lagi rakan serumah dan juga sebilik semasa membuat diplomanya dahulu, Rahim bin Nor Rizan.

Kenduri Rahim lebih meriah dengan kehadiran beberapa rakan dari IKM. Di sana sedia menanti, Jiji dan aweknya juga Mirza. Tiada jodoh untuk bertemu dengan Daoz
kerana kelewatannya tiba. Sebenarnya Madeq mengharapkan lebih ramai rakan IKM yang datang kerana rata-rata berada di Kuala Lumpur. Muslim, Muna, Wak Di, Noni, Ida, Eddy, Ayu dan entah siapa lagi sepatutnya boleh hadir ke majlis itu. Sedangkan dia yang dari Perak pun boleh datang apatah lagi yang sedia ada di KL. Pelik tapi benar.

Rahim masih sama seperti dahulu. Tetap putih dan semestinya masih lebih tinggi 10 cm dari Madeq. Gadis pilihannya dari Johor. Sama padan dan sama lawa.

Selamat Pengantin Baru, semoga berbahagia dan kekal sehingga akhir hayat hendaknya. Amin.



'Bila la pulak giliran aku ni naik pelamin'.


Friday, June 12, 2009

pErKahWinaN zAm...

Kereta di kedua belah arah terpaksa merangkak jalan. Tidak mahu ada kecelakaan berlaku di sana. Kiri kanan di bahu jalan menjadi tempat meletak kereta. Rata-rata hanya kereta berkelas sederhana. Dari sekecil Kancil hinggalah sebesar Waja. Diantara kereta-kereta itu terselit juga kereta-kereta mewah. Tanda sebagai anak kampung pun boleh berjaya dan tentunya boleh menjadi kaya.

Deretan motorsikal dari pelbagai jenama turut jua menjadi penghias di bahu jalan. Haji dan hajah yang tidak berhelmet kelihatan meyusur perlahan dengan kapcai atau pun C70 mencari tempat sesuai meletak motorsikal antik mereka. Anak dara berbaju kurung pula ligat menunggang EX5 ke sana kemari di tengahhari yang terik itu. Tidak tahu apa yang di cari.

Begitulah pemandangan di sepanjang jalan menuju ke rumah Zam, kawan karibnya sejak di IKM lagi. Kenduri-kendara seakan-akan tidak putus disepanjang jalan ke Parit Buntar itu. Khemah-khemah kenduri bersambungan seakan-akan pesta. Papan-papan tanda kenduri ada saja terpacak di simpang-simpang jalan menunjuk arah ke rumah pengantin.

Selalunya dari Taiping ke Parit Buntar memakan masa hanya 45 minit tapi kali ini berbeza. Dia rasakan seakan lebih lama. Satu faktor mungkin kerana jalan yang sibuk dan satu lagi mungkin kerana sudah lama dia tidak ke rumah Zam. Faktor yang pasti pula kerana Kancil merah EX660nya memang tidak dapat memecut laju. Tidak seperti kereta Wiranya dulu.

Zam yang satu ketika dulu pernah menjadi rakan serumah sewaktu membuat diploma dulu akhirnya berumahtangga. Zam yang tua dua tahun dari Madeq telah memilih gadis dari Lumut sebagai suri hidupnya. Itulah sebabnya Madeq ke Parit Buntar. Untuk menghadiri majlis persandingan kawan baiknya ini.

Seperti yang dijangka, hanya dia seorang sahaja menjadi wakil kepada rakan-rakan IKM yang lain. Tak dapat salahkan kawan-kawan yang lain juga. Cuti sekolah dan juga cuti umum. Pasti ada jemputan kenduri sanak saudara yang lain juga. Lagi pun ramai diantara kawan-kawannya bekerja atau pun menetap di Kuala Lumpur. Satu perjalanan yang panjang untuk mereka ke sini.



Itu cerita seminggu, hari Sabtu yang lalu. Hari ini, Madeq hanya lepak dan bermalasan di rumah...

Tuesday, June 2, 2009

x-rEx n LifE...

Facebook, Friendster, YM adalah penemannya diwaktu cuti ini. Sepanjang cuti ini, mereka inilah yang menjadi tempat membunuh waktunya.

Keadaan tak seperti dulu. Kawan-kawan sekampungnya atau boleh juga dikatakan rakan-rakan sepasukannya, X-Rex semua telah berkerja. Ada juga yang telah mendirikan masjid. Mat, dari KL ke Penang. Sekarang kembali lagi ke KL untuk bekerja. Dia ingat boleh la lepak dengan Mat sementara cuti ni. Malangnya, Mat telah pun melapor diri di Telekom. Jawatan apa, dia sendiri kurang pasti. Yang pasti, Telekom syarikat bertaraf gergasi. Susah untuk bankrup. Jadi rasanya ekonomi Mat selepas ini pasti akan stabil. Kad undangan pasti akan tiba tak lama lagi.

Shahrom pula sudah berkahwin. Madeq tak berkesempatan nak ke majlis perkahwinan itu. Sehingga sekarang pun Madeq belum lagi melihat wajah isteri sahabatnya itu. Kenduri Shahrom diadakan semasa dia masih di Kota Kinabalu. Hanya Mat sahaja antara sahabat-sahabat mereka yang dapat hadir. Bukan kenduri Shahrom sahaja. Azizul dan Hafez sama juga. Kenduri mereka disempurnakan ketika dia masih di KK. Dia hanya sempat menghadiri kenduri Dzul sahaja. Itu pun tiada gambar, sebagai kenangan.

Dia benar-benar terasa terkilan. Dia juga harap, sahabat-sahabatnya itu mengerti dan faham situasinya ketika itu. Kalau dia ada di semenanjung, akan dia usahakan juga untuk pergi tapi dengan jarak yang dipisahkan Laut China Selatan sukar baginya memenuhi undangan itu.

Sekarang tinggal Adi, Mat dan juga Shamin. Ketiga-tiganya sudah bekerja. Dia dengar cerita juga yang Adi akan mengakhiri zaman bujangnya hujung tahun ini. Pilihannya sudah tentulah Sherli, gadis yang suatu ketika dahulu menjadi rebutan antara Adi dan Shamin. Dululah. Sekarang tak pasti. Sudah nyata Sherli memilih Adi. Macam mana dengan Shamin? Dia sendiri tak pasti. Shamin hilang entah kemana. Akhir sekali dia berjumpa dengan Shamin ketika di KL tahun 2005. Ketika membantu sahabatnya itu menghadiri temuduga kerja di sana. Selepas itu, hilang berita. Madeq sendiri ke KK. Cuba dihubungi tapi di sambut oleh gadis biadap dari Negeri Sembilan.

'Confirm dah tukar nombor. Minah ni plak apahal kurang ajar sangat. Tau la dah salah nombor. Ingat aku nak ngorat dia ke. Pirrrah!'

'Rakyat Malaysia ramah konon. Iyalah sangat. Dengan pelancong boleh la kelentong.'

Shamin tak dapat dihubungi. Adi masih boleh dihubungi tapi nampak gaya macam dia yang tak ingin ditanya khabar. Balik ke Taiping pun tidak menelefon kawan-kawan. Kantoi dengan Mat di Taiping Sentral. Jelas dia lebih pentingkan buah hatinya itu dari sahabat-sahabat lamanya. Madeq tak salahkan Adi pun. Mungkin Adi ingat sahabat-sahabatnya ini semua sibuk dengan kerjaya masing-masing. Status persahabatan Adi dengan Shamin masih tidak diketahui. Satu hari nanti pasti akan terungkai semua permasalahan antara mereka. Amin...

Bila teringat tentang mereka, Madeq teringat pula kisah dirinya dengan Hafez. Permusuhan dalam kumpulan sendiri. Biarlah. Bagi Madeq, ia telah pun menjadi pengajaran baginya.

Tinggallah Mat yang masih selalu menghubunginya. Madeq sendiri kerap menanya khabar Mat. Takdir Mat amat berliku. Tak ubah seperti takdir Madeq sendiri. Berhijrah dari satu negeri ke negeri yang lain untuk mencari kesudahan yang bahagia. Mat mungkin masih mencari. Madeq pula, persinggahannya di Kota Kinabalu telah menemukannya dengan gadis yang bisa menemaninya untuk seumur hidup. Bisa menjadi penyokong untuk dia meneruskan cabaran hidup. Kini, hanya kestabilan ekonominya sendiri menjadi penghalang untuk dia mendirikan rumahtangga.

Selagi kita usaha, selagi itulah sinar bahagia tidak akan malap...



Sunday, May 31, 2009

mEngaNgGur...kErJa...

Hampir 3 minggu dia pulang bercuti ke kampung halaman. Bercuti? Ya, masih bercuti. Sedangkan hampir semua rakan-rakan yang lain sudah pun mula mencari kerja. Menyelak helaian akhbar dan menekan tetikus. Ada juga yang sudah pun menerima tawaran kerja. Yu Li, Clare, Sahar adalah diantara mereka.

Yu Li nampaknya seperti akan terus bermastautin di Kota Kinabalu. Dia mendapat tawaran kerja di Lintas. Tiada tanda-tanda mahu memulakan kerjaya di Selangor tempat kelahirannya. Mungkin ada sesuatu yang menyebabkan dia berminat untuk terus tinggal di sana.

Sahar terus b
erkerja dengan syarikat pak ciknya, tempat Madeq melakukan latihan industri. Berat juga bagi Sahar untuk menolak tawaran kerja ini. Diluah mati emak ditelan mati bapa. Namun janji tetap janji. Dari pemerhatian Madeq semasa melakukan latihan industri di sana, anak-anak Tuan Haji nampaknya kurang berminat dalam meneruskan perniagaan ini. Kurang minat untuk mewarisi empayar ciptaan bapa mereka. Mungkin kerana ini, Tuan Haji berharap benar pada Sahar. Berharap Sahar akan meneruskan perniagaan ini dan mengembangkannya. Susah juga kalau dibuat dalam keadaan terpaksa tapi Madeq yakin benar Sahar mampu melakukannya.

Clare pula dengarnya menerima tawaran bukan di Kota Kinabalu tapi di kawasan agak pedalaman. Tidak pasti dia menerimanya atau tidak. Itu pun Adam yang beritahu semasa ber YM dengannya 2-3 hari yang lepas. Adam pula masih mencari dan menunggu untuk dilamar dan ditemuduga.

Rakan-rakan yang lain agak sepi. Senyap tanpa sebarang berita. Mungkin masih mencari lagi. Madeq tidak mahu bertanya. Takut kalau-kalau menjadi satu tekanan pada mereka kalau masih tidak bekerja. Asyik ditanya sudah kerja ke belum pasti akan mendatangkan tekanan pada mereka yang masih menganggur.

Dia sendiri pernah merasakan tekanan seperti itu. Hampir 3 bulan tidak bekerja selepas ditamatkan kontrak dahulu. Separuh gila dibuatnya. Rambut habis berguguran walaupun tidak melahap mee segera sepanjang masa itu. Duduk dihadapan televisyen sambil mengunyah keropok menantikan surat tawaran tiba, setiap hari memang meyeksakan.


Nak dapat kerja kadang-kala memang susah tapi kalau senang dimanakah manisnya pula. Jangan memilih. Sapu saja mana kerja yang datang dulu. Bila dah dapat kerja, buat sehabis baik. Jangan tahu nak mengeluh dan komplen sahaja. Susah ke senang ke redah sahaja. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Cakap memang senang, nak dibuat satu hal yang lain pula...

Sunday, May 17, 2009

sEpI......bAhaGIa

Beberapa ceritera berdarah pada masa lampau hampir menenggelamkan dia dalam kesunyian ditengah bingit kekalutan ribuan manusia. Kisah-kisah yang dia tidak mahu ingati selalu sahaja bermain di ruang minda, selalu terbayang di birai mata. Bila ditambah dengan suasana yang sunyi hening, mutiara jernih selalu akan menitis.

Namun episod sedih dan pilu itu semuanya sudah berakhir.

5 haribulan 5, tahun 2009 bersamaan dengan hari Selasa mengikut kalendar barat. Pada tanggal ini, dengan secara rasminya dengan bersaksikan kegelapan dan pukulan ombak di pantai Teluk Likas, dia mengakhiri zaman sepinya.

Sepi, gelap dan air mata hanyut dengan terlafaznya kata 'iya' dari mulut seorang gadis. Tanda setuju dan menerima Madeq sebagai kekasih kini dan suami akan datang. Walaupun secara tidak rasminya, mereka boleh dikatakan sudah berpacaran namun bagi Madeq kata-kata lisan dan pertentangan empat mata semasa melamar adalah amat penting.

Dia mahu dengar sendiri. Dia perlu dengar sendiri dari mulut gadis ini.

Dengan tangan dipegang erat, Madeq pun melafazkan kata janji untuk menjadikan gadis ini sebagai kekasih. Setelah 27 tahun bernafas di dunia fana ini, akhirnya ada juga gadis yang sanggup menerima dia sebagai teman hidup.

Inilah hadiah yang dinanti selama 27 tahun.

'Terima kasih Sayang kerana sudi mewarnai hidup yang sebelum ini hanya hitam putih.'

'Episod sedih, nyah ko dari hidupku. Kesudahan bahagia, nantilah aku dipenghujung ceritera ini.'





Monday, May 11, 2009

kERja ???nOt yEt LAh...

Minggu peperiksaan sudah pun berakhir. Viva juga sudah berakhir bagi pelajar-pelajar kejuruteraan awam tahun akhir. Sekarang ini rata-rata sedang membuat pembetulan terakhir sebelum di buat kulit keras.

Madeq sebetulnya seawal lagi sudah boleh pulang ke kampung halaman. Dia tiada viva. Tiada Final Year Project. Dia extend. Rakan-rakan sekelasnya sekarang ada yang sudah pun menerima tawaran kerja, ada juga yang sedang pening untuk menerima tawaran yang mana. Sungguh semangat sekali untuk memulakan kerjaya. Tidak sabar-sabar sekali untuk memegang wang sendiri. Bagus. Bermotivasi.

Bagi Madeq yang extend, semua itu tidak penting. Sekurang-kurangnya masih belum penting lagi. Namun dia tahu, dia tidak akan berasa begitu teruja untuk bekerja walaupun sudah tamat masa extendnya nanti. Dia sudah biasa bekerja. 2 tahun bekerja dalam bidang pembinaan. Baginya kerja adalah sesuatu yang membosankan. Tidak dapat enjoy seperti ketika menjadi pelajar.

Kerja adalah tidak lain menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Sama ada suka atau tidak, tahu atau tidak amanah itu harus dilaksanakan. Dilaksanakan dengan baik bukan dengan secara cincai. Buat cincai, tak sampai 3 bulan pasti dah kena tendang. Ini tak termasuk kerja kerajaanlah. Buat kerja cincai pun gaji tetap masuk juga bila hujung bulan. Tapi gaji itu dikira halal atau tidak, sendiri fikirlah.

Amanah kerja bukan semata-mata kerana tugas yang diberi oleh majikan. Amanah itu secara tidak langsung datangnya dari Yang Maha Esa. Melaksanakan dan menjaga amanah itu menjadi wajib kerana ianya datang dari Pencipta Alam ini.

Dia masih ada satu semester lagi untuk ditamatkan. Kemudian dia akan kembali dalam alam pekerjaan. Kali ini dia akan bekerja bukan seperti dahulu hanya untuk dirinya. Kali ini adalah untuk dirinya, keluarganya dan orang lama tapi baru muncul dalam jiwanya...