Wednesday, April 15, 2009

goLonGaN jIJiK....?

Sepatutnya dia yang berang. Sepatutnya dia yang kecil hati. Ini sebaliknya, dia yang masih dipersalahkan, sedangkan dia yang mulanya menjadi mangsa. Memang mungkin sudah menjadi lumrah dunia akhir zaman ini, si mangsa yang akan dipersalahkan. Banyak kejadian di dunia yang terjadi seperti itu. Tidak perlu lagi diberikan contoh.

Tidak cukup baikkah dia selama ini. Tidak cukup sayang dan hormat lagikah dia pada kawan-kawannya. Atau tidak cukup layak lagikah dia untuk berkawan dengan mereka-mereka ini. Mungkin ada yang rasa dia ini seorang yang jijik, hina dan cukuplah hanya mengenali nama dan fizikal sahaja. Tidak perlu tahu lebih-lebih. Buat buang masa sahaja.

Jumaat malam Sabtu yang lalu, dia keluar makan bersama rakan-rakan bola keranjangnya. Ren Yih, Ah Tiew, Ah Lum, Raymond dan Madeq dirinya. Lima orang. Empat Chinese dan seorang Melayu. Jarang ada pemandangan sebegini tapi bagi Madeq ini sesuatu yang biasa. Rakan-rakan bola keranjangnya ini boleh dikatakan sebagai rakan sejati. Dia dihormati dan dia menghormati mereka. Walaupun terkadang mereka ada tersalah bicara yang megusik hati kecilnya tapi Madeq mengerti itu adalah disebabkan kecetekan fahaman mereka tentang Islam dan Melayu.

"Sebab itulah saya tak pergi church", kata Ah Tiew.
"Pergi sembahyang pun masih mulut busuk. Masih bastard orang lain lagi. Lepas tu pergi church minta ampun lagi. Cheh", sambung Ah Tiew.

Satay dan hidangan makanan yang lain sudah pun licin disapu mereka berlima. Tinggal minuman sahaja yang masih diteguk sedikit demi sedikit sambil bercerita. Ren Yih telah pun pulang kerana ada janji temu dengan Anthea, teman wanitanya. Tinggallah mereka berempat meneruskan sembang kedai kopi. Topik utamanya, itulah "Kenapa Ah Tiew Tak Pergi Church". Ah Tiew membuka bicara. Barulah Madeq mengerti. Acap kali Ah Tiew di'kena'kan oleh rakan-rakannya yang kuat ke church tapi bagi Ah Tiew tiada gunanya jika hati masih begitu. Tiada rasa hormat-menghormati antara manusia. Berulang kali di bastard membuatkan persepsinya terhadap golongan church ini ke arah negatif. Mungkin ada benarnya apa yang dikata dan dirasakan Ah Tiew.

Madeq sendiri dapat rasakan. Semalam sedang dia dan Herul menjamu selera tengahari di Farvis, rakan-rakan Herul muncul. Restoran awam kan, siapa-siapa pun boleh datang. Herul disapa, ditegur dan disalami oleh mereka bergilir-gilir. Namun tiada satu tangan pun dihulur kepadanya. Memandang pun dengan ekor mata sahaja rasanya apatah lagi nak bersalaman.

Kenapa?

'Bukan Muslimkah aku? Tidak cukup Muslimkah aku untuk disalami. Atau aku bukanlah dari golongan mereka. Golongan yang selalu mengimarahkan surau dan masjid.'

Selalu Madeq bertembung dengan mereka sewaktu pulang dari bermain bola keranjang. Samada sewaktu mereka mahu pergi atau ketika mereka sudah pulang dari surau selepas menunaikan solat fardhu Maghrib. Mereka pulang dari surau, Madeq pulang dari gelanggang bola keranjang sewaktu Maghrib sudahpun hampir tiba ke waktu makruhnya.

Memang berbeza. Sama-sama Muslim tapi dari tempat yang berbeza. Mereka bersama rakan-rakan bersongkok dan berkopiah, Madeq pula bersama rakan baiknya Raymond. Mereka dengan haruman dan pakaian yang suci, Madeq dengan peluh dan bau yang melekat di badan yang hanya disalut jersi bola keranjang. Mungkin ini yang telah menjatuhkan jijik dan hina mereka pada Madeq.

Madeq tidak tersa sangat dibuat begitu. Mereka ini bukanlah kenalan rapatnya. Namun bila kenalan rapat yang sudah berkawan hampir selama empat tahun buat begitu, cabik hatinya. Terasa bagai disiat-siat jiwanya. Hanya kerana solatnya tidak penuh dan berseluar katok, menjadikan dia di luar kelas atau dari golongan yang memalukan jikalau menjadi kenalan.

Adakah begitu?

Mungkin juga kerana namanya Mahathir. Tiada yang indah pada nama itu. Tiada Firdausi, tiada Sheikh di depan namanya. Atau hanya kerana dia tidak membahasakan dirinya sebagai 'Ana'. Orang lain yang lebih berbau Muslim boleh sahaja melawat, boleh sahaja meninggalkan komen. Dan ada komen-komen itu dibalasnya juga. Bila orang jijik ini mengetahui dan melayari, mungkin ada tercalit rasa malu pada golongan intelektual Islam tadi.

Tidak mengapa. Dia memang pun bukan dari golongan songkok dan kopiah. Tidak juga menyebut diri sebagai 'Ana'. Cukuplah aku, kau, saya, awak sebagai tanda menghormati.

Adakah kecelaruan golongan ini membuatnya benci?

Sekali-kali tidak.

Membuatkan dia tidak lagi mempercayai?

Pun tidak dan jauh sekali.

Apa yang dia dapat simpulkan dari kejadian-kejadian yang berlaku ini adalah, manusia amat lemah. Tidak lari dari kesilapan dan kesalahan. Manusia tiada kesempurnaan kecuali Junjungan Muslim seluruh alam. Kelemahan dan kecelaruan ini membuatkan dia berfikir dan akan mencuba memperbaikinya. Tidak dia mahu menuding jari pada kesalahan orang lain sedang empat jari lagi menunjuk pada dirinya sendiri. Peristiwa-peristiwa dunia ini membuatkan dirinya lebih dahaga. Dahaga akan ilmu Islam. Akan dia dalami perlahan-lahan seperti bayi yang baru belajar merangkak. Biarlah orang kata dia baru mahu mengenali Alif, Ba dan Ta. Dia tidak peduli. Dia tahu belum terlambat baginya. Bukan semua ada dibuku, peristiwa disekeliling juga mampu memberi pengajaran.

Dia minta maaf kalau ada rakan-rakan yang kecil hati, marah atau menyampah padanya, atas kekhilafan dirinya.

"Sama-samalah kita belajar, sama-samalah kita mengerti, sama-samalah kita fahami dan aku minta dimaafkan segala perbuatan, kata-kata dan niat buruk aku padamu teman-teman."

"Al-Fatihah aku sedekahkan pada Dr. Mohamad Harimi yang telah dipanggil menghadap Ilahi, semoga rohnya ditempatkan bersama golongan yang soleh. Amin."



Friday, April 10, 2009

tIpu...

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud; siapa yang menipu bukanlah dari kalangan umatku...

Begitu kerasnya amaran dari Rasulullah.

Baru-baru ini, Madeq ditipu. Bukanlah boleh dikata ditipu kerana dia telah pun tahu jawapannya. Sengaja ditanya lagi untuk mengetahui jawapan apa yang akan dijawab. Jawapan yang sebagai mana yang akan dinyatakan temannya itu.

Ternyata temannya ini berdusta. Mencipta rangkaian imaginasi untuk menutup kebenarannya. Mengolah karya helah mengakali rakan sendiri.

Madeq tidak marah tapi dia kecewa. Kenapa perlu berdusta? Payah sangatkah untuk menyatakan kebenaran? Apa dengan mengatakan sesuatu yang benar itu memalukan diri sendiri?

Akhirnya dia mengaku. Mengaku yang dia telah menidakkan kebenaran, membohongi segala apa yang benar. Namun tidak secara berdepan. Hanya melalui SMS. Mungkin tak sanggup lagi menipu dan akhirnya terpaksa mengaku jujur juga.

Manakan tidak. Satu penipuan pasti akan ditutup dengan penipuan yang lain. Dan penipuan itu pula disangkali dengan dusta yang lain pula. Begitulah seterusnya. Hinggalah lubang dusta itu pecah sendiri. Akhirnya siapa yang akan malu.

Tak kisahlah jikalau orang lain yang menipunya. Orang luar yang tidak dikenalinya. Orang yang tidak pernah ditaruhkan kepercayaan. Dia tidak pernah berharap ada dikalangan rakan-rakannya sendiri yang menipunya. Alangkah sakitnya hati dia rasakan. Berbekas hingga ke tulang hitamnya.

Dia telah pun meminta maaf. Dan Madeq telah pun memaafkannya. Ikhlas memaafkannya, atas nama persahabatan yang sekian lama telah terjalin. Sedangkan Nabi ampunkan ummat, inikan dia yang kerdil dimata Ilahi. Dia tahu temannya itu insan biasa. Tidak lari dari kesilapan. Tidak lari dari kekhilafan. Ummat Muhammad mana yang tidak melakukan kesalahan. Jawapannya tiada.

'Kali ni dia tipu aku. Dulu pernah ke dia tipu aku? Akan datang mungkinkah dia akan tipu aku lagi?'

Persoalan-persoalan begini selalu timbul dibenaknya. Namun Madeq takkan mengungkit. Dia harap tiada lagi pendustaan selepas ini. Sahabat, rakan, kawan, teman, peng you, friend, nakama dan seerti dengannya tidaklah sepatutnya didustai. Ibu bapa lagilah. Kalau nak rasa kehidupan dineraka, cubalah menipu mereka. Rakan-rakan sepatutnya dihargai dan dihormati.

Sekurang-kurangnya itu yang Madeq rasa, itu yang Madeq mahu, itu yang Madeq harapkan daripada rakan-rakannya.

Wednesday, April 8, 2009

tUgaSAn...

Final exam is just around the corner tapi masih banyak yang dia tidak tahu. Masih banyak yang dia tidak mengerti. Dalam semua subjek yang di ambil, hanya Advanced Transport je yang nampaknya mempunyai harapan. Itu pun mungkin dalam B- sahaja. Bergantung juga kalau dia mampu menjawab pada peperiksaan akhir nanti. Yang lain, haram...

Tugasan-tugasan pun masih banyak yang tergantung lagi. Terpaksa dia siapkan semasa seminggu cuti untuk menelaah. Advanced Highway, Project Design, Numerical dan tak dilupai juga, Steel and Timber Design. Nampaknya cuti minggu belajar ini dia terpaksa habiskan dengan membuat tugasan bukannya dengan belajar untuk peperiksaan akhir.

Tugasan berkumpulan. Itu yang paling susah hendak dilangsaikan. Di ajak berbincang, ada sahaja hal yang menghalang. Ada sahaja hal yang lebih penting dari menyiapkan tugasan. Bila berjumpa...

"Madeq, assignment kita macam mana. Dah buat ke? Bila nak buat?"

Itu soalan yang keluar. Nak sahaja dia memaki hamun. Kawan punya fasal, dia diamkan saja. Dalam hati, tuhan sahaja yang tahu..Bila ajak buat, pelbagai alasan. Bila masa dah suntuk baru nak gelabah. Boleh pula tu tanya dah buat ke belum. Nama pun tugasan berkumpulan, mestilah buat berkumpulan, takkan nak buat secara solo dan yang lain hanya menumpang saja kan. Dia nekad, kalau tiada kerjasama biarlah tugasan itu terus tergantung. Biarlah sama-sama tiada markah. Biarlah sama-sama dapat D atau lebih teruk dapat E. Lagi bagus biarlah sama-sama extend.

Malas dia nak melaksanakan seorang diri. Dia bukan ketua. Tiada pernah orang melantiknya sebagai ketua tapi dia rasakan bagai semua tanggungjawab itu jatuh atas kepalanya. Yang lain, masih bergoyang kaki menanti hasil.

Ini masalahnya bila tugasan berkumpulan. Dahulu, dia pun begini juga. Hanya menjadi ahli hantu. Beri nama, bagi nombor matriks. Selesai. Kerja-kerja mengira, memplot dan sebagainya ada orang lain yang laksanakan. Paling-paling pun dia hanya akan menaip dan mencetak dan menghantar.

Kalau dapat sekumpulan dengan top student bolehlah buat begitu. Mereka pun tak harap yang pelajar kelas kedua macam Madeq ni buat kerja yang susah. Mereka tidak mahu markah mereka dijadikan taruhan. Walaupun satu markah, amat penting bagi mereka. Bila mana sekumpulan dengan mereka yang sama taraf, inilah jadinya. Masing-masing mengharap antara satu sama lain. Masing-masing tidak mahu bertanggungjawab. Bagi Madeq senang sahaja. Seorang lepas tangan, dia pun akan lepas tangan.

Tugasan oh tugasan, sama-samalah kita saksikan kesudahannya...