Monday, February 23, 2009

uNbeATabLe...


"Ball!" Jerit Gotong.

Madeq segera membuat baseball pass. Tepat sampai ke tangan Gotong. Satu lagi lay up dari Gotong menghasilkan dua mata.

Begitulah hampir setiap perlawanan. Serangan pantas dari Gotong akan melenyapkan harapan pihak lawan. Serangan 3 mata dari Madeq pula akan meleburkan impian untuk merampas gelaran juara dari program kejuruteraan awam. Sudah 2 tahun program kejuruteraan awam mengekalkan kejuaraan dalam pertandingan bola keranjang untuk Piala Dekan.

Ah Tiew, Ren Yi, Along. Ditambah lagi dengan Wei Lun dan Ah Yong. Tidak lupa juga kekuatan lompatan Ronald. Barisan belakang Civil memang tak dapat dikalahkan lagi. Mustahil untuk meruntuhkan tembok sekuat ini. Rebound pasti dalam tangan. Ini memudahkan kerja Gotong dan Madeq untuk menyerang. Dengan barisan sekuat ini, Civil telah membelasah semua program lain dengan purata 50 markah dengan hanya belasan yang dapat diperoleh pihak lawan.

"Block out, rebound!" Arah Madeq.

Satu lagi rebound dari Wei Lun. Segera diserahkan pada Madeq dan satu lagi baseball pass pada Gotong.

'Pritttttttt....!!!' Satu tiupan wisel yang panjang menandakan tamatnya perlawanan akhir. 60 berbalas 17. Civil membenam Chemical engineering. Mereka memang tidak mampu menandingi kekuatan Civil. Namun begitu, pujian harus diberi pada mereka kerana ini kali pertama mereka mampu melangkah ke pertandingan akhir. Sebelum ini, Chemical engineering hanyalah satu pasukan belasahan. Menjadi pasukan untuk dibuat pemanas badan sahaja.

Berakhirnya perlawanan akhir itu, bermakna ini adalah kali ketiga berturut-turut program kejuruteraan awam menjadi juara. Tradisi kejuaraan ini dimulakan dibawah pimpinan seniornya, Chee Soon dan diteruskan oleh Madeq sendiri.

Dia puas. Kejuaraan Piala Dekan tahun lepas dia tidak dapat bermain dengan baik akibat kecederaan pada tulang paha kanannya. Membuatkan dia tidak dapat berlari seperti biasa. Pergerakan pun terbatas. Walau pun doktor menasihatkan supaya berehat sementara dari bermain tapi kedahagaannya terhadap bola keranjang tidak dapat dihalang. Kali ini, dibawah pimpinannya dan juga dengan kurniaan fizikal yang sihat dari Ilahi, dia mampu membawa pasukannya mempertahankan kejuaraan. Dia benar-benar puas. Dia juga berharap semangat ini akan kekal dalam jiwa pemain-pemain juniornya dan berharap mereka akan dapat terus memperoleh emas untuk tahun-tahun berikutnya, selepas dia meninggalkan UMS.

Hujan mencurah turun sebaik sahaja dia tiba di bilik setelah selesai majlis penyampaian pingat yang berakhir sekitar jam satu setengah petang. Mandi kemudian makan. Dalam keadaan yang sejuk dan letih ini, yang paling sesuai dilakukan hanyalah satu, tidur.

Letak sahaja kepala, dia terus terlelap. Mustahil untuk dia mengetahui jam berapa dia terlena. Tapi satu perkara yang dia tahu, dia terjaga semula hanya bila dia terdengar azan. Bukan azan Asar. Bukan juga azan Maghrib tapi azan Isyak.

'Biar betul ni. Nasib tak terlepas sampai subuh esok.'

Madeq bingkas. Segera dia menyucikan diri. Seterusnya mengadap nota Finite Element Method. Study!

'Esok ada ujian lagi. Adoi la...'

Friday, February 20, 2009

15 fEbrUaRY...

'Setahun setelah kau pergi,
Ku masih sembunyi,
Di balik senyum palsu,
Ku dengar dirimu,
Tak sendiri lagi...
Betapa hancurnya...'

Senyum palsu... Masihkah dia..? Dia sendiri tidak pasti. Bait-bait lirik lagu dari S07 ini acap kali menyentuh perasaannya.

'Setahun setelah kau pergi'.

Ya ampun, memang telah genap setahun. Setahun sudah dia tidak mendengar bicara keletah manja dari seseorang. Seseorang yang pernah dianggapnya sebagai takdir hidupnya, yang akan bisa menjadi teman sepanjang hayat. Menjadi peneman dikala susah dan senang.

'Tak sendiri lagi'.

Waktu dia dapat tahu, memang hatinya hancur, berkecai, bersepai dan semua perkataan yang ada dalam kamus bahasa Melayu yang sama erti dengannya. Sewaktu itu dia cuba untuk menyembunyikan perasaannya. Sehabis daya untuk mengelakkan titisan air jernih gugur dari kelopak mata di hadapan kawan-kawannya. Namun dia tahu, ada di kalangan kawan-kawannya yang perasan perubahan yang ada pada dirinya. Mereka seakan mengerti dan hanya diam. Mereka tahu, dia tidak akan bicara biar pun ditanya.

Naluri seorang ibu memang sangat kuat. Anugerah yang diberi oleh tuhan. Seawal pagi lagi, ibunya sudah menelefon. Menanyakan khabar berita. Seakan-akan tahu yang anaknya ini dalam kesedihan dan kegelisahan. Air mata sudah tak dapat ditahan lagi. Empangannya pecah sejurus mendengar suara ibunya. Dia teresak-esak seperti anak kecil. Tidak dia ceritakan secara terperinci tentang apa yang terjadi. Dia tidak mahu ibunya ini risau.

"Takde apa-apalah, mama. Biasa-biasa je. Hal kecik je. Jap-jap lagi ni okey la". Dia berbohong.

"Jagalah diri elok-elok. Jangan fikir sangat. Ingat, apa yang terjadi semuanya kehendak tuhan. Dia yang maha mengetahui. Apa yang terjadi pasti ada hikmahnya."Balas ibunya.

"Em, okey. Mama jangan risau ye."

Talian diputuskan bila mana ucap jaga diri dilafazkan. Dan untuk 3 hari seterusnya, dia berendam air mata. Murung. Boleh dikira berapa patah perkataan yang dituturkannya. Proses pemulihan semangatnya memakan jangka masa yang amat panjang. Hingga kini, proses itu masih berterusan.

Inilah kali pertama dia rasa begitu. Kali pertama merasa betapa hebatnya hentaman kekecewaan. Seakan-akan langit runtuh menghempap kepalanya, gelombang lautan menelannya dan percikan api nirmala menyambar membakar tubuhnya. Warna-warni pelangi yang dahulunya menyerikan hati pecah menjadi kepingan kaca. Luluh dan menyucuk setiap inci tubuhnya. Mendatangkan kesakitan yang maha hebat. Mungkin ini adalah juga balasan terhadap dirinya yang satu ketika dulu pernah menidakkan cinta seorang gadis. Mungkin beginilah perasaan yang dirasai gadis itu. Setiap perbuatan pasti ada balasan.

Setelah setahun berlalu, kesakitan itu kurang dirasai lagi. Mungkin kerana dirinya telah pun menjadi zombi. Tapi kalau menjadi zombi, pasti hati ini tidak akan hiba setiap kali ia mengenang. Mengenang akan seorang gadis yang persis bidadari dunia. Seorang gadis yang telah berjaya menakluk roh cintanya.

Entah berapa tahun yang dia perlukan untuk mengumpul semula kekuatan dalam dirinya. Dan adakah lagi gadis lain yang mampu memberikan perasaan cinta sehangat ini. Membara membakar jiwa...

'Apakah itu tandanya bahawa...
Ku benar-benar cinta,
Ku benar-benar sayang,
Tak terjawab bila hati bertanya,
Ke mana kau hilang.......'


'Ya tuhanku, anugerahkanlah aku seorang gadis biar pun dia bukan bidadari dunia. Cukuplah seasalnya jiwanya mencintai aku sepenuh hati bila mana aku mencintai dia tanpa berbelah bahagi'. Amin...

Friday, February 13, 2009

sIbUk sEkALi...

Dua minggu. Dua minggu ini dia telah diduga dengan pelbagai acara. Acara yang disusun atur dengan rapi oleh Tuan yang punya dunia. Terasa amat panjang dua minggu yang dilalui.

Bermula dengan engkol motornya tercabut, memaksanya menaiki bas untuk tiga hari berturut-turut. Inilah kali pertama untuk semester ini dia menaiki bas untuk ke kuliah. Barisan panjang untuk menaiki bas umpama deretan semut hitam. Dia terpaksa menjadi penyumbang bagi deretan yang panjang sehingga ke perkarangan penginapan pelajar lelaki. Nasib juga, bas tidak putus-putus membuatkan barisan semut ini dapat bergerak dengan lancar. Namun begitu, dia tetap lewat tiba di kelas. Barisan panjang tadi menidakkan dia untuk sampai tepat pada masanya. Kerosakkan motornya membuatkan pergerakkannya menjadi terbatas. Tiga hari tanpa motor buruknya membuatkan dia begitu malas hendak bergerak kemana-mana.

Tidak pernah dia menyalahkan sesiapa. Dia menyalahkan diri sendiri. Dia sendiri tahu Sahar tidak tahu menunggang motorsikal, namun diberi pinjam juga. Rosak di kaki kawan dan bukan di kaki sendiri. Itu yang membuatkannya kesal. Sedikit sebanyak ia memberi impak dalam persahabatan mereka. Membuatkan dia susah untuk menaruh kepercayaan pada Sahar lagi.

Kesibukan ini disambung lagi dengan dua ujian dari Prof. Rao. Satu, Finite Element Method dan yang keduanya, Advanced Geotechnic. Dua subjek yang sukar dia mengertikan dan diuji pada hari yang sama. Walau pun dia sudah cuba menyiapkan diri untuk ujian ini, keputusannya tetap sama. Soalan ujian tak dapat dijawab. Mata mula meliar ke kiri dan kanan. Akhirnya, memerlukan bantuan dan kerjasama kawan-kawan baru kertas kosong di depannya tercoret.

Pada hari yang sama, tugasan dari Puan Lilian juga wajib di hantar. Walaupun tugasan bekumpulan, namun dua dari empat bahagian terpaksa dia yang laksanakan. Dari mengedit benda yang terlampau banyak kesalahan lebih bagus membuat satu yang baru. Sudahlah dihantar lewat, salah pula tu. Letih dibuatnya. Nasib baik sempat juga Hairul menghantarnya sebelum jam lima. Kalau tidak mahu juga dia mengamuk. Jam 430 petang baru mahu buat muka depan. Tak panas hatinya.

Tugasan dari Tan Kok Ji, pensyarah jemputan juga membuatkan masa yang singkat ini bertambah pendek. Belum sempat dia menyiapkan satu tugasan, datang satu lagi tugasan dari Ir. ini. Dia tak mahu lagi telat menghantar tugasannya. Menampakkan dia seperi tidak bertanggungjawab.

Jadual kuliah yang seringkali di ubah oleh Puan Noraini juga menambahkan tekanan. Kuliah dua minggu sekali, tak termasuk makmal yang wajib dihadiri seminggu sekali. Teknik mengajar yang dia rasakan amat teruk itu menambahkan lagi subjek yang dia tak mengerti.

Akhir sekali yang menambah tekanannya, cermin matanya pecah. Pecah tanpa sebab yang dia ketahui. Dua kerugian yang terpaksa dihadapi. Tidak nampak apa yang pensyarah tulis di papan dan ongkos untuk membuat cermin mata baru. Sehingga kini dia belum lagi membuatnya.

Satu-satunya perkara baik yang berlaku padanya hanyalah broadbandnya sudah mampu menjalankan tugas di dalam bilik walaupun taliannya tidaklah sekuat mana. Sekurang-kurangnya ia masih mampu berfungsi di dalam bilik.

Oh! Dan ada satu lagi perkara baik yang berlaku dan ini membuatkan dia berasa gembira...